Tuesday, June 1, 2010

Kelibat budak bermain air

BETONG: Jelmaan lembaga berbaju putih dengan berambut panjang dipercayai pontianak bukan saja menganggu anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong, malah tahanan lokap turut menerima nasib sama.
Lembaga berkenaan dikatakan ‘menjaga’ salah satu lokap berkenaan dan seringkali menjelma di setiap sudut menyebabkan tahanan tidak lena tidur.
Menurut sumber, seorang ustaz dipanggil untuk ‘merawat’ lokasi berkenaan kerana sering menerima gangguan daripada lembaga itu.

“Ustaz itu memberitahu, salah satu lokap memang tempat lembaga itu dibunuh. Sebab itulah, ‘dia’ sering mengganggu tahanan yang ditempatkan di situ,” katanya.

Tambah sumber itu lagi, beberapa anggota polis yang bertugas pada waktu malam turut melihat kelibat dua hingga tiga kanak-kanak berlari dalam bangunan itu.

“Pernah seorang anggota terserempak dengan dua kanak-kanak sedang berlari dan bermain air. Pada keesokan harinya dia mendapati kawasan berkenaan basah,” katanya.

Katanya, gangguan seumpama itu tidak asing bagi anggota dan pegawai IPD berkenaan, malah ketika berada di bangunan lama, mereka turut mengalaminya “Memang ada gangguan ketika IPD lama, tapi ia tidak sehebat di sini. Malah suatu ketika, macam-macam bunyi yang meremangkan bulu roma dapat dengar,” katanya.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan tiga anggota dari IPD Betong hampir trauma selepas didakwa diganggu makhluk berbaju putih serta rambut panjang sejak sebulan lalu.

Peristiwa ini berlaku sehari selepas IPD berkenaan dipindahkan ke bangunan baru kira-kira dua kilometer dari bangunan lama.

Kejadian bersiri itu berlarutan dan kali terakhir Jumaat lalu memaksa seorang ustaz dipanggil untuk ‘menangkap’ lembaga berkenaan.

>Bacaan al-Quran tak henti BETONG: Sejak gangguan makhluk halus semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong bergema dengan bacaan ayat suci al-Quran setiap hari.

Bermula jam 7 malam hingga 7 pagi, bangunan IPD berkenaan tidak pernah henti walaupun seminit daripada bacaan ayat kitab suci itu menggunakan rakaman kaset bertujuan menjauhi gangguan berkenaan.

Seorang anggota yang pernah mengalami gangguan makhluk halus itu, berkata bangunan IPD berkenaan akan bergema dengan bacaan ayat al-Quran bagi menghilangkan ketakutan kepada anggota.

“Inilah ikhtiar yang kami lakukan sejak mengalami perkara itu. Malah, pegawai atasan turut mengadakan majlis tahlil pada setiap Jumaat dengan harapan dapat mengelakkan daripada diganggu.

“Boleh dikatakan setiap minggu pasti ada program seperti ini. Pihak kami berusaha untuk memastikan gangguan yang dialami sejak sebulan lalu, tidak berlaku lagi,” katanya.
Menurutnya, dia sendiri akan mengambil wuduk jika bertugas waktu malam selain membaca yasin.

“Seorang ustaz pernah memberitahu bangunan itu sudah ‘dipagar’ tapi, masih mengalami gangguan ini.

“Ini kerana, kami dimaklumkan ustaz berkenaan, bangunan itu sudah menjadi ‘hak milik’ lembaga berkenaan sejak mula dibina,” katanya.

Katanya, tapak pembinaan bangunan berkenaan dibina di atas kawasan yang didiami makhluk halus sehingga menyebabkan ia marah dan mengganggu warga kerja IPD berkenaan

No comments:

Post a Comment