Tuesday, June 1, 2010

Permit pekerja asing ladang sawit sambung 5 tahun





2010/06/01

KUALA LUMPUR: Kabinet memutuskan supaya permit pekerja asing di sektor perladangan kelapa sawit dibenarkan untuk disambung lima tahun lagi selepas tamat tempoh lima tahun pertama bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di sektor berkenaan. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan membenarkan perlanjutan tempoh permit itu selepas mengambil kira keperluan tenaga buruh di sektor perladangan pada masa ini ter-utama di bawah subsektor kelapa sawit.
“Berdasarkan kaji selidik pada 2009 oleh agensi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM), kini terdapat 520,449 pekerja asing yang bekerja di sektor perladangan atau 52 peratus daripada jumlah keseluruhan 982,478 pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing berkata, daripada jumlah itu, 428,720 atau 65 peratus daripada 649,576 orang adalah pekerja asing bagi sektor perladangan sawit; 56,412 (20 peratus) daripada 274,872 orang bagi getah; 34,077 (77 peratus) daripada 43,930 orang bagi kayu kayan dan 1,240 (lapan peratus) daripada 14,100 orang bagi koko. 

Selain itu, katanya, jumlah pekerja asing bagi kategori penuai buah tandan segar 176,795 atau 94.81 peratus daripada keseluruhan 186,473 orang, manakala bagi kategori pekerja ladang 91,814 atau 77.74 peratus daripada keseluruhan 118,104 pekerja. 

“Kerajaan sedar jika langkah drastik tidak diambil segera, ia akan menjejaskan produktiviti dan daya saing subsektor ini,” katanya

No comments:

Post a Comment