Tuesday, June 1, 2010

Segera baiki rumah usang Jamil - Sapawi



SAPAWI Ahmad (kiri) melihat keadaan rumah Jamil Abdul Latip (kanan) yang usang di Kampung Suasa Beaufort, kelmarin.


BEAUFORT 31 Mei - Pejabat Daerah digesa membaiki segera kerosakan rumah Jamil Abdul Latip di Kampung Suasa dekat sini bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad berkata, rumah tersebut sangat usang dan memerlukan pembelaan segera.
''Kita bimbang ia boleh mengancam keselamatan mereka yang tinggal di rumah berkenaan," katanya selepas meninjau keadaan rumah berkenaan semalam.
Hadir sama Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang, Matbali Musah; Pemaju Mukim Lumadan, Billeh Untold dan Pengerusi JKKK Kampung Suasa, Ruslan Muharam.
Difahamkan masalah yang menimpa Jamil sudah dilaporkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung kepada Pejabat Daerah, tetapi sehingga kini masih belum mendapat tindakan sewajarnya.
Dalam pada itu, Sapawi berkata, jabatan dan agensi kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap aduan yang dikemukakan oleh rakyat termasuk di kawasan luar bandar.
Menurutnya, ini penting bagi mengelak rakyat menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil berat masalah yang sedang dihadapi mereka.
Lebih membimbangkan, tegasnya, jika masalah tersebut membabitkan soal keselamatan nyawa pengadu berkenaan.
''Jangan kerana aduan itu hanya datang daripada penduduk luar bandar maka kita mengambil mudah.
''Setiap aduan dan masalah yang dikemukakan rakyat termasuk di luar bandar perlu diberi perhatian serius dan tindakan segera perlu diambil," katanya.
Sapawi menambah, setiap pegawai kerajaan perlu mengelak daripada mengamalkan sikap tidak kisah atau tidak peduli terhadap aduan orang ramai.
Katanya, jika amalan itu tidak dibendung ia boleh menjejaskan matlamat kerajaan untuk menjuarai nasib rakyat.

No comments:

Post a Comment