Sunday, June 20, 2010

Kerajaan Selangor Serah Kepada Polis Untuk Siasat Kes Ugutan Bunuh


SHAH ALAM, 20 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes seorang lelaki yang didakwa menerima ugutan bunuh berikutan pendedahan mengenai masalah kerosakan lif di pangsapuri Taman Permai Indah, Pelabuhan Klang, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad, berkata hanya siasatan polis yang boleh menentukan kesahihan dakwaan itu.

"Saya tidak tahu sama ada ugutan itu benar atau untuk menagih simpati atau kerana beliau kepanasan disebabkan rasa bersalah. Saya juga tidak tahu siapa yang begitu marah kepada penduduk tersebut sehingga mahu membunuhnya," katanya.

Dalam kenyataan di sini pada Ahad, katanya beliau telah mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa penyiasat bagi menentukan sama ada kecurian dan kerosakan kepada alat ganti lif berkenaan adalah satu tindakan sabotaj.

Semalam, Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM) A.Prakash mendakwa menerima dua ugutan bunuh dalam dua hari berturut-turut daripada seorang lelaki yang menghubunginya melalui telefon bimbit.

Prakash, yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai Indah, mendakwa ugutan bunuh itu dipercayai ada kaitan dengan pendedahan yang dibuatnya mengenai kegagalan kerajaan Selangor melaksanakan kerja baik pulih lapan lif di empat blok kediaman itu yang rosak sejak 10 bulan lepas.

Prakash telah membuat laporan polis mengenai ugutan bunuh itu di Balai Polis Pandamaran semalam.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment