Sunday, June 20, 2010

Lelaki sakit jantung kemungkinan mati pucuk - pakar


20/06/2010 3:52pm

KUALA LUMPUR — Tujuh daripada 10 pesakit lelaki yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini untuk rawatan sakit jantung, didapati mengalami mati pucuk (ED), demikian menurut pakar kardiologi hospital berkenaan, Dr. Ramesh Singh Veeriah.
Jelasnya, dalam kajian yang dilakukan tahun lepas ke atas 111 pesakit lelaki yang pada mulanya aktif seks dan selepas mereka dimasukan ke PPUM untuk rawatan sakit jantung, 75.7 peratus daripada mereka didapati sudah mengalami ED.
"ED ini dikesan berlaku enam bulan sebelum mereka dimasukkan ke PPUM,” katanya.
Data berkenaan dimuatkan dalam kertas kerja beliau yang dibentangkan pada Kongres Kardiologi Sedunia di Beijing, China hari ini.
Dr. Ramesh berkata, 219 pesakit jantung lelaki dimasukkan ke unit penjagaan kardiologi hospital berkenaan dari April 2008 hingga Februari tahun lalu dan daripada jumlah itu, 192 telah diperiksa dan hanya 111 pesakit yang aktif seks sejak enam bulan sebelum itu yang diuji untuk ED.
Beliau juga berkata, ED dan Penyakit Arteri Koronari (CAD) mempunyai faktor risiko persamaan yang banyak dan saling berhubung rapat. — Bernama

No comments:

Post a Comment