Wednesday, July 7, 2010

44 kes berhubung berita palsu dan hasutan disiasat



07/07/2010 7:19pm

KUALA LUMPUR 7 Julai - Sebanyak 44 kes berhubung berita palsu, memecahbelahkan masyarakat, berunsur hasutan dan program Internet yang menuduh pihak tertentu termasuk menghina raja-raja Melayu telah disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat ini.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beberapa akta boleh diguna pakai bagi mengenakan tindakan terhadap pihak yang terlibat seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
"Kementerian mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit dan fail yang selesai siasatan akan dikemukakan kepada Peguam Negara dalam masa terdekat.
"Kementerian Dalam Negeri turut mempunyai rekod kes yang sama dalam perhatian mereka,” katanya kepada pemberita selepas taklimat bertajuk “Memperkasa Penghayatan 1Malaysia” pada majlis Jelajah Isu anjuran kementerian yang dihadiri kira-kira 500 warga kementerian termasuk ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan.
Rais berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang menggesa pengamal media di negara ini supaya tidak merosakkan akal budi dan pemikiran masyarakat dengan menyiarkan cerita-cerita rekaan, pembohongan, fitnah ataupun dusta. – Bernama

No comments:

Post a Comment