Wednesday, July 7, 2010

Kegagalan bawa pulang Raja Petra cemar kewibawaan polis - Nallakaruppan



KUALA LUMPUR 6 Julai - Kegagalan polis membawa pulang Raja Petra Kamaruddin ke tanah air untuk dihadapkan ke mahkamah boleh menimbulkan kesan yang amat negatif terhadap kemampuan pasukan itu menangani kes melibatkan pengendali portal antikerajaan Malaysia Today itu.
Sehubungan itu, Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk S. Nallakaruppan mahu pihak polis lebih serius dalam menangani kes tersebut termasuk meminta bantuan segera daripada Interpol serta pihak polis di London untuk memberkas Raja Petra.
Beliau berkata, selain memberi impak negatif kepada polis, kes itu jika dibiarkan akan menjadi ikutan kepada penjenayah lain iaitu melarikan diri ke luar negara sebagai jalan mudah untuk mengelakkan diri daripada diberkas.
''Secara peribadi saya bimbang dengan perkembangan kes Raja Petra. Walaupun mempunyai dua waran tangkap, sehingga kini pasukan polis gagal membawa pulang Raja Petra ke tanah air. Mustahil pihak polis tidak mengetahui lokasi Raja Petra.
"Kes ini sebenarnya menarik perhatian rakyat dan sudah tentu rakyat akan membuat penilaian terhadap kewibawaan polis. Jangan biarkan rakyat membuat penilaian tidak adil kepada pasukan polis kita,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas gambar yang memaparkan dua individu dikehendaki oleh pihak berkuasa negara ini iaitu Raja Petra dan P. Balasubramaniam seperti yang disiarkan di muka depanUtusan Malaysia hari ini.
Bersama mereka dalam gambar yang dipetik daripada laman web Malaysia-instinct.com itu ialah tiga individu lain iaitu Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim, peguam Amarjit Singh Sidhu dan seorang individu tidak dikenali.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari ketika mengulas gambar tersebut meminta kerajaan mengambil tindakan terhadap pemimpin PKR kerana terbukti parti itu melindungi dan dipercayai menaja Raja Petra dan Balasubramaniam di United Kingdom.
Nallakaruppan yakin pihak polis mampu menyelesaikan kes tersebut dengan baik kerana polis Malaysia merupakan antara pasukan yang terbaik di dunia.
"Polis kita berjaya menyelesaikan banyak kes termasuk yang rumit. Oleh itu saya yakin polis kita mampu membawa pulang Raja Petra supaya dia dapat dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera,'' ujarnya.
Ketika ditanya sama ada perlu atau tidak tindakan diambil terhadap pemimpin-pemimpin PKR atas dakwaan melindungi Raja Petra, beliau berkata, tidak adil baginya untuk mengaitkan PKR dalam kes tersebut.
"Tidak adil bagi saya untuk membuat sebarang kesimpulan, namun saya percaya polis mempunyai maklumat mengenainya,'' katanya lagi.
Nallakaruppan mendakwa Anwar mempunyai keupayaan kewangan yang amat besar dan mampu membiayai apa jua kegiatan demi masa depan politiknya.
''Anwar mampu membiayai 1,000 lagi Raja Petra kerana dia mempunyai keupayaan kewangan yang amat besar. Anwar sebenarnya pandai berpura-pura dengan mengatakan yang dia tidak berduit.
''Akibatnya ramai pengikutnya menghabiskan duit kerana terpedaya dengan lakonannya itu,'' katanya lagi.

No comments:

Post a Comment