Friday, August 27, 2010

21 suspek anggota al-Qaeda Aceh dibicarakan di Jakarta


ANTARA 21 suspek anggota al-Qaeda di Aceh duduk di kandang tertuduh semasa dibicarakan atas tuduhan melakukan aktiviti keganasan. Gambar kiri menunjukkan mereka dibawa menggunakan bas yang dikawal rapi oleh polis Indonesia ke mahkamah di Jakarta, semalam. – AFP


JAKARTA 26 Ogos – Suspek militan daripada kumpulan yang dilabel sebagai ‘al-Qaeda di Aceh’ dibicarakan hari ini atas tuduhan berkomplot untuk membunuh warga Barat termasuk pekerja bantuan Amerika Syarikat (AS) dan pelancong.
Seramai 21 suspek menghadapi pelbagai tuduhan termasuk menjalankan kegiatan yang mencetuskan ‘perasaan gerun atau takut’, memiliki senjata api secara haram, memberikan wang dan perlindungan kepada pengganas, dan menyertai latihan ketenteraan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman daripada penjara tiga tahun sehingga hukuman mati.
Mereka adalah kumpulan pertama suspek yang dihadapkan ke mahkamah dari kalangan lebih 100 orang yang ditahan selepas penemuan sebuah kem latihan tentera di Aceh pada Februari lalu.
Kira-kira 66 masih ditahan sementara menantikan perbicaraan.
Kem itu didakwa menjadi tempat berhimpunnya militan daripada pelbagai kumpulan serantau di bawah pimpinan ketua militan Indonesia, Dulmatin yang dibunuh oleh polis pada Mac lalu.
Mereka menjalani indoktrinasi dan latihan ketenteraan dengan matlamat untuk mengusir warga Barat dan Kristian dari Aceh, kata pendakwa raya, Firmansyah dalam dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah.
Sasaran mereka termasuk orang awam AS dan pekerja bantuan, gereja, pelancong dan pertubuhan bukan kerajaan Barat.
“Jika mereka tidak dapat pergi ke Palestin, mereka akan memerangi warga Amerika dan sekutu mereka di Indonesia, termasuk rakyat Amerika di Aceh,” katanya.
Seorang suspek itu didakwa menembak dan mencederakan seorang pekerja bantuan Jerman di Aceh tahun lepas, melontar bom tangan ke sebuah pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu kota wilayah, Banda Aceh dan melepaskan tembakan ke rumah sewa dua pelajar AS yang bertugas sebagai guru di sana. – AFP

No comments:

Post a Comment