Friday, August 27, 2010

Masjid WTC: Perikatan dibentuk


NEW YORK 26 Ogos – Pertubuhan- pertubuhan Islam, Yahudi, Kristian dan sivik membentuk sebuah perikatan semalam untuk menyokong rancangan bagi membina sebuah pusat kebudayaan Islam dan masjid dekat tapak runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di bandar raya ini.
Projek tersebut mendapat tentangan keras daripada ahli politik konservatif dan sebilangan penduduk yang menganggap lokasinya sebagai tidak sensitif terhadap perasaan ahli keluarga kepada hampir 3,000 orang yang terbunuh dalam serangan pada 11 September 2001 itu.
Bagaimanapun perikatan yang baru dibentuk itu terdiri daripada lebih 40 pertubuhan agama dan sivik, New York Neighbours for American Values berkata, perbahasan berhubung projek itu menimbulkan perasaan takut serta perpecahan dan mereka akan berjuang supaya kebebasan yang termaktub dalam perlembagaan Amerika dipertahankan.
“Kita bukan diserang oleh dunia Islam. Kami menyokong 100 peratus pembinaan pusat kebudayaan Islam di New York City,” kata Donna O’Connor, jurucakap untuk sebuah pertubuhan bagi ahli keluarga mangsa serangan 11 September. Anak perempuan O’Connor yang hamil terbunuh dalam serangan di WTC.
Perbahasan itu merebak ke peringkat kebangsaan menjelang pilihan raya separuh penggal pada November ini apabila Parti Republikan bertekad untuk merampas penguasaan ke atas Kongres daripada Parti Demokrat.
Di New York, pemandu teksi yang ramai antaranya beragama Islam mengaitkan kontroversi tersebut dengan serangan ke atas seorang rakan mereka.
Pemandu teksi berasal dari Bangladesh, Ahmed Sharif, 43 berkata, leher, muka dan bahunya dikelar semalam oleh seorang penumpang yang bertanya sama ada dia beragama Islam dan berpuasa pada bulan Ramadan.
Polis berkata, serangan itu sedang disiasat sebagai jenayah berunsur kebencian dan seorang lelaki kulit putih berusia 21 tahun ditangkap dan menghadapi beberapa tuduhan termasuk percubaan membunuh serta menyerang.
Akhbar New York Times melaporkan, suspek bekerja sebagai sukarelawan di Intersections International, sebuah pertubuhan yang berusaha untuk memupuk persefahaman antara budaya dan yang menyiarkan satu kenyataan pada bulan ini untuk menyokong projek pusat kebudayaan Islam itu.
Pengarah eksekutif Perikatan Pekerja Teksi New York, Bhairavi Desai berkata, kontroversi berhubung projek tersebut menyebabkan penduduk Islam di New York, termasuk para pemandu teksi, berada dalam keadaan terancam.
“Kami percaya keganasan seperti ini secara langsung berpunca daripada suasana yang dicetuskan oleh kejahilan dan perbuatan menakut-nakutkan orang,” kata Desai. – Reuters

No comments:

Post a Comment