Friday, August 27, 2010

Suasana Jeti Pulau Ketam bagai Indonesia


Oleh Wartawan Berita Harian
bhnews@bharian.com.my
2010/08/27


SALAH satu daripada empat pemeriksaan pihak berkuasa yang perlu dilalui warga asing di Jeti Pulau Ketam.
SALAH satu daripada empat pemeriksaan pihak berkuasa yang perlu dilalui warga asing di Jeti Pulau Ketam.

Ejen tawar pelbagai khidmat termasuk cop bawah pokok
 

PELABUHAN KLANG: Suasana Jeti Penumpang Pulau Ketam di sini bagaikan di Indonesia kerana dipenuhi ejen atau chalo warga republik itu yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk memalsukan cop imigresen bagi membawa masuk atau keluar rakan senegara tanpa dokumen.Sekurang-kurangnya empat sindiket yang dianggotai kira-kira 80 ejen warga Indonesia dikatakan beroperasi di jeti itu, selain berpuluh ribu pendatang tanpa izin yang menggunakan khidmat chalo setiap hari.Malah, anggota sindiket itu bertambah sebelum atau selepas musim perayaan, seperti menjelang Aidilfitri. 

Difahamkan, sepanjang tahun lalu 561,266 penumpang menggunakan jeti itu untuk keluar-masuk Malaysia. 

Setiap chalo dikatakan mampu memperoleh pendapatan antara RM5,000 sehingga RM20,000 sebulan atau hingga RM30,000 sebulan pada musim perayaan, berikutan pertambahan pelanggan. 

Anggota sindiket itu juga dipercayai mempunyai jaringan rapat dengan pengusaha feri komersial dan pihak berkuasa di jeti berkenaan. 
Chalo menawarkan khidmat dikenali sebagai ‘bawah pokok’ bagi urusan cop palsu imigresen bagi warga Indonesia yang tiada dokumen keluar-masuk negara ini dan tinggal melebihi tempoh, tetapi ingin pulang ke kampung masing-masing. 

Ejen haram ini mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM1,800 bagi setiap pelanggan mereka bergantung kepada khidmat yang disediakan. 

Bagi setiap cop ‘bawah pokok’ dikenakan RM50, manakala cop imigresen keluar-masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula dikenakan RM450 kerana ia cop rasmi yang asli, bagaimanapun maklumat pada dokumen yang dicop tidak dimasukkan dalam data imigresen. 

Sumber memberitahu Berita Harian, contoh cop diambil daripada pasport dan proses menghasilkan cop palsu itu dilakukan sendiri anggota sindiket yang mempunyai kepakaran. 

“Cop palsu ini menghalalkan keluar masuk pekerja Indonesia ini. Ini taktik terbaru digunakan sindiket kebelakangan ini berbanding dulu apabila mereka yang tidak memiliki dokumen terpaksa menaiki kapal sayur dan ikan serta disembunyikan di bahagian enjin feri dalam keadaan yang tidak selesa. 

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna cara lama itu tidak digunakan lagi kerana setiap hari ada kapal dagang yang belayar ke negara jiran dan kegiatan sindiket ini berjalan lancar setiap hari," katanya. 

Sumber berkata, kehadiran warga asing di jeti itu seharusnya dipantau kerajaan kerana sewajarnya tugas menyambut tetamu ke negara ini dilakukan rakyat tempatan. 

“Kehadiran ramai chalo memberi gambaran seolah-olah kita berada di Tanjung Balai Asahan, Indonesia,” katanya

No comments:

Post a Comment