Friday, August 13, 2010

244 hotel 'halal' tidak pasti kesahihannya



KUALA LUMPUR 12 Ogos - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menjelaskan jumlah 244 hotel halal seperti mana didakwa oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) disifatkan sebagai angka yang tidak pasti kesahihannya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, apa dimaksudkannya itu berkaitan dengan pihak yang bertindak mengeluarkan sijil halal bagi kesemua hotel berkenaan sama ada ia daripada pihak berkuasa agama atau syarikat-syarikat swasta.
Beliau berkata, buat masa ini kerajaan hanya mengiktiraf sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri (Jain).
''Saya tidak pasti apakah asas MAH menyatakan 244 hotel di negara ini telah menerima sijil halal. Adakah mereka mendapat sijil halal daripada pihak berkuasa agama atau syarikat swasta?
''Namun saya cukup gembira sekiranya hotel-hotel ini mendapat sijil daripada Jakim atau Jain tetapi persoalannya adakah mereka ini benar-benar mendapat sijil halal daripada pihak berkuasa agama?'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden MAH, Datuk Mohd. Ilyas Zainal Abidin bahawa 244 hotel telah mempunyai sijil halal dan ia melebihi daripada apa yang dinyatakan Jakim.
Sijil halal itu diperoleh daripada Jakim, Jain, Majlis Agama Islam Negeri (Main) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).
Mohd. Ilyas berkata, MAH yang mewakili 552 hotel lima bintang menjangkakan jumlah hotel yang memiliki sijil halal lebih tinggi ekoran data 244 hotel itu diperoleh dalam tempoh tiga jam semalam.
Wan Mohamad berkata, beliau terpaksa bertegas dalam isu tersebut kerana menjadi tanggungjawabnya memastikan ibadah berbuka puasa dibuat di premis-premis yang mendapat pengiktirafan halal daripada pihak berkuasa agama.
''Saya bukan berniat mahu mempersoalkan angka ini tetapi saya juga bertanggungjawab dalam memastikan ibadah puasa umat Islam kita tidak cacat kerana berbuka di premis yang meragukan,'' katanya lagi.
Beliau sekali lagi meminta umat Islam mendapatkan senarai terkini hotel yang telah memperolehi sijil halal sama ada daripada Jakim atau Jain.
Hanya senarai itu sahaja katanya boleh diterima pakai sebagai hotel yang telah mendapat sijil halal.
Beliau turut memberitahu sekiranya hotel itu bersifat tempatan, sijil halal akan dikeluarkan oleh Jain tetapi jika hotel tersebut bersifat berangkai sijil halal dikeluarkan oleh Jakim.
''Begitu juga hotel antarabangsa. Walaupun ia berada di negeri-negeri dan bukan Kuala Lumpur, sijil halal tetap akan dikeluarkan oleh pihak Jakim,'' katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai senarai hotel yang mendapat sijil halal boleh melayari laman webwww.halal.gov.my.
''Mereka juga boleh berhubung terus dengan Jain bagi hotel di peringkat negeri,'' katanya lagi

No comments:

Post a Comment