Friday, August 13, 2010

Jeti kayu uzur



Oleh Ariffin Salleh

2010/08/12

MASJID TANAH: Pangkalan jeti nelayan di Kampung Ramuan China Kecil, Lubok China, dekat sini, yang digunakan oleh nelayan di situ sejak hampir sedekad lalu, kini hanya menunggu masa untuk rebah ke bumi. 

Ibarat pepatah, hidup segan mati tak mahu. Sehubungan itu, kira-kira 30 penduduk di sini yang mencari rezeki sebagai nelayan berharap pihak berkuasa dapat membantu memperbaiki kemudahan berkenaan.
Ketika ini, mereka mendakwa tidak punya pilihan dan terpaksa terus menggunakan kemudahan itu untuk menjalankan aktiviti harian tanpa mempedulikan sama sekali bahaya yang menanti.
Tinjauan Berita Harian mendapati kemudahan itu seperti sebuah pondok buruk yang lama ditinggalkan. 

Seorang nelayan di situ, Zainal Md Ali, 59, yang sudah 25 tahun bergelar nelayan berkata, jeti kayu itu dibina menggunakan wang mereka sendiri secara berkongsi selepas tidak mendapat bantuan mana-mana pihak. 

Sambil melahirkan rasa kesal dan sedih dengan nasib menimpa mereka, beliau berkata, nelayan di tempat lain di kawasan Parlimen Masjid Tanah sudah mendapat pembelaan menerusi pembinaan jeti baru. 

Bila melihat kembali kemudahan ini, kadang-kadang kami rasa seperti dipinggirkan daripada menikmati pembangunan yang dibawa kerajaan termasuk untuk nelayan luar bandar seperti kami. 
Tak bolehkah wakil atau agensi kerajaan berkaitan datang melihat sendiri kesukaran yang dihadapi. Pangkalan jeti yang kami gunakan setiap hari untuk mencari rezeki sekarang hanya menunggu masa roboh, katanya. 

Zainal berkata, nelayan di situ menggunakan kemudahan daif itu bagi meletakkan sampan dan peralatan menangkap ikan seperti jaring serta pukat. 

Sebelum ini ada sebuah bangunan dibina tidak jauh dari sini, kononnya bagi menggantikan bangsal jeti sedia ada tapi sampai sekarang tidak ada perkhabaran mengenainya. Saya difahamkan ia dibina dengan kos RM45,000. Benar atau tidak, itu kena tanya pihak berkuasa terbabitlah, katanya. 

Seorang lagi nelayan sungai, Derani Silong, 79, ketika ditemui berkata, pangkalan jeti berkenaan tidak lagi mampu menampung keperluan bagi tempoh jangka panjang jika terus aktif digunakan seperti sekarang. 

Katanya, lazimnya nelayan yang tiba di situ selepas balik dari menangkap ikan akan terus memunggah perolehan mereka tanpa menunggu lama di situ berikutan keadaannya yang sudah uzur itu. 

Saya bimbang juga hendak berdiri lama di atas jeti ini. Saya perhatikan lantainya pun sudah semakin mereput dan ada yang patah. Kadang-kadang ketika menaikkan ikan dari bot ke darat pun susah juga bila air surut, katanya 

Derani berkata, pihaknya sebelum ini pernah mengemukakan cadangan bagi menggantikan kemudahan itu tapi sehingga sekarang tidak menerima maklum balas. 

Kalau kami hendak membina sendiri memang tak mampu, sebab itu kami memohon. Kami dengar peruntukan untuk nelayan seperti kami ada disediakan tapi tak tahu ke mana perginya. Kalau ada tentu kemudahan uzur ini sudah dibaiki, katanya.

No comments:

Post a Comment