Friday, August 13, 2010

Pengarah syarikat antara 3 ditahan ISA



Oleh Suhana Roslan dan Mohd Iskandar Ibrahim

2010/08/12

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang pengarah urusan sebuah syarikat mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengganas selain mempunyai hubungan dengan militan antarabangsa, pagi semalam. 

Ketiga-tiga mereka, seorang lelaki warga Indonesia dan dua rakyat Malaysia ditahan dalam operasi berasingan di Selangor dan Pahang, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Maswan Ahbab, 34, bekerja sebagai eksekutif pemasaran ditahan di sebuah kawasan perumahan di Medan Bukit Indah 2, Bukit Indah, Ampang.
Seorang rakyat tempatan bekerja sebagai pengarah urusan dikenali sebagai Sheikh Abdullah Sheikh Junaid, 70, ditahan di Taman Melur juga di Ampang, katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam. 

Beliau berkata, polis turut memberkas seorang kontraktor pembinaan rakyat tempatan, Samsul Hamidi, 34, di Temerloh, Pahang kerana disyaki mempunyai hubungan dengan dua suspek pertama. 

Musa berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 73(1) ISA 1960 kerana tindakan mereka dipercayai boleh memudaratkan keselamatan negara selain dikaitkan dengan kumpulan militan di luar negara. 

Difahamkan, ketiga-tiga suspek itu ditahan anggota dan pegawai Pasukan Petugas Khas Operasi Anti-Pengganas Bukit Aman hasil maklumat awam dan risikan dalam operasi serentak antara jam 7 dan 8 pagi. 
Sumber memberitahu Berita Harian, ketiga-tiga suspek terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan gerakan pengganas yang beroperasi di Aceh, Indonesia.

No comments:

Post a Comment