Friday, August 13, 2010

Restoran Cina diserbu




AMER Mansor menyita bahan perasa yang mempunyai alkohol yang dipercayai digunakan dalam penyediaan makanan di salah sebuah restoran di Ipoh, semalam.



IPOH 12 Ogos - Sebuah restoran Cina di Pusat Perdagangan Greentown, di sini yang menyediakan hidangan steamboat sebagai 'Bufet Ramadan' diserbu pihak berkuasa hari ini.
Operasi bersepadu melibatkan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu bermula dari pukul 2.30 petang hingga 4.15 petang ini.
Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa yang diketuai Penolong Pengarah PPDNKK Negeri, Amer Mansor memeriksa bahagian dapur termasuk bahan-bahan masakan yang digunakan di restoran terbabit.
Antara yang dirampas ialah tujuh botol bahan masakan mengandungi alkohol, dua botol minuman keras, tiga botol kicap dan masing-masing sebotol jus ikan serta tauhu.
Turut dirampas, kain rentang promosi 'Bufet Ramadan'.
Menurut Amer, serbuan itu dilakukan berikutan restoran tersebut mempromosikan hidangan steamboat sebagai bufet Ramadan yang disiarkan oleh sebuah akhbar tabloid semalam.
Katanya, dalam laporan tersebut, restoran itu mendakwa masakan yang disediakan untuk berbuka puasa dan bahan-bahannya adalah halal sedangkan ia tidak mempunyai sijil halal.
"Kami menjumpai minuman keras di bahagian dapur restoran tetapi kami tidak pasti ia dicampur ke dalam masakan atau tidak, siasatan sedang dijalankan.
"Sekiranya restoran itu didapati tidak mematuhi hukum syarak, kita akan ambil tindakan mahkamah," katanya.
Beliau berkata, ini merupakan serbuan pertama terhadap premis menyediakan bufet Ramadan di negeri ini sejak umat Islam mula berpuasa semalam.
"Jika orang ramai merasa ragu-ragu dengan juadah berbuka puasa yang disediakan oleh premis tertentu, mereka boleh menghubungi unit operasi PPDNKK Perak. Kita akan terus pantau perkara ini," ujar beliau.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15 (2) Akta Perihal Dagangan 1972 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama dan RM500,000, kesalahan kedua.

No comments:

Post a Comment