Thursday, August 5, 2010

AJK masjid pulau imam kerana politik



PENGKALAN KUBOR 4 Ogos - Gara-gara tindakan bapa mertuanya yang kerap mengkritik Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, imam muda di Masjid As-Somadi di Kampung Geting dekat sini dipulau oleh ahli jawatankuasa dan jemaah yang tidak sehaluan dengannya.
Malah setiap kali imam muda itu, Rosli Abdul Latif, 31, mengimamkan solat, ada antara makmum melakukan solat berjemaah dengan imam yang lain secara berasingan di belakang.
Rosli berkata, ekoran kejadian itu, beliau dinasihatkan jawatankuasa masjid supaya berhenti menjalankan tugasnya bagi menjaga keharmonian anak kariah masjid berkenaan.
"Semuanya sebab politik, bapa mertua saya kuat mengkritik Nik Abdul Aziz. Saya tidak terlibat dalam politik malah pada kuliah pun saya jarang sentuh mengenai politik walaupun saya seorang penyokong Pas.
"Disebabkan timbul isu setiap kali saya jadi imam, akan berlaku dua jemaah maka satu mesyuarat dipanggil oleh jawatankuasa masjid, anak makmum tidak berkenan saya jadi imam, jadi untuk menjaga keharmonian, saya tidak dibenarkan menjadi imam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, bapa mertuanya, Abdullah Sa'amah yang juga pengasas Pondok Geting kerap mengkritik Nik Abdul Aziz kerana berpendapat Mursyidul Am Pas itu telah mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam seperti tidak menggalakkan sambutan Maulidur Rasul dan mengatakan Allah pun mencarut.
Hari ini, Utusan Malaysia menyiarkan kenyataan Abdullah yang meminta Nik Abdul Aziz membuang sikap ego dan menerima cadangan perpaduan dengan UMNO demi kepentingan umat Islam.
Rosli berkata, beliau telah dipanggil oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk memberi penjelasan berhubung isu tersebut tetapi tiada sebarang keputusan dibuat.
"Kerana tidak tahan dipulau malah terdapat surat layang yang menghina bapa mertua, saya telah meletakkan jawatan pada Jun lalu tetapi menarik balik selepas memikirkan banyak faktor.
"Selepas itu saya menjalankan tugas seperti biasa tetapi kejadian dua imam berlaku lagi, maka saya dipanggil oleh Maik dan menjelaskan saya tidak ada kena-mengena dengan politik walaupun saya penyokong Pas biasa," katanya.
Sementara itu, Abdullah berkata, beliau hairan dengan sikap fanatik penyokong Nik Abdul Aziz kerana menantunya tidak terlibat langsung dengan sebarang kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.
Katanya, apa yang dikatakannya adalah kebenaran untuk memastikan akidah umat Islam tidak terus terpesong dengan dakyah yang dibawa oleh pemimpin itu.
"Menantu saya tidak ada kena-mengena dalam hal ini, saya bercakap demi kebenaran. Kenapa pula dia dikaitkan dengan semua ini. Jangan terlalu fanatik, fikir dulu dengan mendalam apa yang saya katakan sebelum ini.
"Saya mencabar Nik Abdul Aziz berdebat sekiranya apa yang saya katakan hari ini tidak benar. Saya bukan baru dalam Pas, sejak berpuluh tahun dulu saya berada dalam Pas tetapi hari ini parti itu mementingkan kuasa sehingga sanggup berkawan dengan DAP," katanya.

No comments:

Post a Comment