Monday, September 13, 2010

Ibrahim buat kejutan


PASIR MAS- Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menegaskan beliau akan mengatur strategi yang mengejutkan ramai pihak apabila tiba masa pilihan raya umum (PRU) akan datang diumumkan. 

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) itu berkata, beliau tidak kisah sekiranya mana-mana parti meminggirkan beliau dalam memperjuangkan agenda parti masing-masing. 

Katanya, sama ada bertanding atau tidak dalam pilihan raya bukan perkara utama, sebaliknya perjuangan utamanya adalah untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera di negara sendiri. 

“Bertanding atau tidak dalam pilihan raya, menang atau kalah kerana ia bukan perkara pokok. Perkara pokok bagi saya perjuangan dan keselamatan orang Melayu dan kaum Bumiputera di bumi sendiri. 

“Tiba pilihan raya nanti, jika panjang umur saya akan mengatur strategi sendiri dan ia akan mengejutkan banyak pihak kerana ia berpaksikan kepada kepentingan orang Melayu dan Islam dan saya tidak boleh jelaskan lagi sekarang,”katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di rumahnya, di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun yang mengesahkan parti itu tidak lagi memberi peluang kepada Ibrahim untuk bertanding di atas tiket Pas di kawasan Parlimen Pasir Mas. 

Dalam masa yang sama sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO turut mengecam beliau dalam menerajui Perkasa yang disifatkan tidak membantu parti itu meraih sokongan untuk memberi undi kepada Barisan Nasional (BN). 

Ibrahim berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan pihak tertentu dengan mengemukakan barisan alternatif yang akan ditunggu rakyat Kelantan. 

“Yang penting saya mahu rakyat nilai kewibawaan pemimpin yang mempunyai ketahanan yang kuat dari segi mempertahankan bangsanya dan Islam agamanya dan mempunyai kreativiti, idea dan inovasi, amanah, jujur dan seumpamanya dan saya harap rakyat akan membuat pertimbangan saksama dan matang. 

“Di Pasir Mas, biarlah apa orang nak kata, saya tahu perhubungan saya dengan masyarakat di sini, lihat hari ini (semalam) pun bila kita ada rumah terbuka, kalau ikut kenyataan pemimpin Pas dan sesetengah pihak, kalau saya buat rumah terbuka, lalat dan semut pun tak datang tetapi hari ini (semalam) berduyun-duyun masyarakat datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment