Monday, September 13, 2010

Tiada laluan untuk bertanding


Ibrahim Ali melayan tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Bandar Pasir Mas, semalam. – UTUSAN/Hafiz Johari


PASIR MAS 12 Sept. – Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mempunyai strategi yang didakwa akan mengejutkan banyak pihak dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) walaupun UMNO serta Pas tidak menyokongnya.
Katanya, beliau sedar kedudukannya ketika ini tidak lagi mempunyai peluang bertanding atas mana-mana tiket parti namun ia bukan penghalang perjuangan membela nasib orang Melayu dan bumiputera.
‘‘Saya sedar dan menjangkakan Pas tidak akan memberi laluan kepada saya lagi dalam pilihan raya akan datang kerana sebelum ini ia hanya atas dasar kerjasama sebelum ini.
‘‘Parti-parti lain pun nampaknya cuba menjauhkan diri daripada perjuangan Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), tetapi saya tidak kisah kerana dalam pilihan raya akan datang, jika panjang umur saya sudah mengatur strategi sendiri yang akan mengejutkan banyak pihak,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini hari ini.
Ibrahim mengulas keputusan Barisan Nasional (BN) menjauhi Perkasa yang dipimpin olehnya dan pendirian Pas yang tidak akan membenarkan beliau menggunakan lambang parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Ibrahim berkata, beliau tidak kisah disingkirkan oleh sesiapa pun kerana matlamatnya bukan menjadi jaguh di gelanggang politik.
‘‘Saya tidak kisah dengan apa yang berlaku kerana saya tidak ada cita-cita pun, bertanding atau tidak dalam pilihan raya, menang atau kalah kerana ia bukan perkara pokok.
‘‘Apa yang lebih penting bagi saya ialah perjuangan dan keselamatan orang Melayu serta bumiputera di tanah air sendiri.
‘‘Strategi yang saya aturkan nanti akan berpaksikan kepada kepentingan orang Melayu dan Islam tetapi tidak boleh dijelaskan lagi buat masa ini,” katanya.
Beliau berkata, terdapat 42 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dan daripada jumlah itu 62 peratus terletak di kawasan orang Melayu.
‘‘Kerusi itu menyaksikan pertandingan antara MCA dan DAP atau UMNO dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bagi semua kerusi berkenaan saya sudah mempunyai cadangan apa yang boleh dilakukan,” katanya.
Mengenai kedudukannya di Kelantan, Ibrahim berkata, beliau turut mempunyai strategi untuk mempertahankan kedudukannya di situ.
‘‘Apabila masanya tiba saya akan mengumumkannya, mungkin ia berkisar kerjasama dengan pihak-pihak tertentu atau kita akan mengemukakan barisan alternatif,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment