Tuesday, September 14, 2010

Kamarudin mahu majukan studio


KUANTAN - Ahli keluarga pemandu peribadi jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, Kamarudin Shamsudin menerima berita kematiannya dengan tenang dan turut mengadakan Solat Ghaib di rumah mereka di Bandar Indera Mahkota 2, di sini kelmarin. 

Abang iparnya, Ismail Ibrahim, 56, berkata, sebahagian ahli keluarga yang berada di Mekah kerana menunaikan umrah turut mendirikan solat tersebut sebaik menerima berita menge�nai kematiannya dalam keadaan yang tragis.

“Kami melakukan solat ghaib selepas semua ahli keluarga yakin (berdasarkan hasil siasatan pihak polis) dan dapat menerima bahawa sisa mayat yang dibakar itu adalah Kamarudin bersama majikan serta dua rakan mereka,” katanya ketika ditemui, semalam. 

Kamarudin bersama majikannya yang juga jutawan dan pengasas kosmetik Nouvelle Visage, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dipercayai dibunuh secara kejam sebelum dibakar menjadi abu di sebuah ladang ayam di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Selangor pada 30 Ogos lalu. 

Turut dibunuh dan dibakar bersama ialah dua rakan mereka iaitu peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, sebelum abu ke semua mangsa dihanyutkan ke Sungai Kanchong Laut berhampiran ladang tempat kejadian. 

Ismail berkata, mereka turut mengadakan majlis tahlil selama tiga malam berturut-turut bermula kelmarin bagi mendoakan ketenangan roh Kamarudin. 

“Sebaik menerima berita tersebut, kami reda dan menerimanya dengan tenang. Kemudian kami memutuskan untuk mengadakan majlis tahlil bagi mendoakan ketenangan arwah,” katanya. 

Sementara itu, katanya, ibu mangsa, Zainab Ahmad, 73, dan anak bongsu mangsa, Irfan Aiman, 8, yang diasuh keluarga mereka masih bersedih dengan kejadian tersebut tambahan dalam suasana menyambut Aidilfitri. 

“Anak bongsu arwah masih bersedih kerana tidak begitu memahami kejadian yang menimpa bapanya. Bagaimanapun, kami semua tabah dan menerima kejadian yang menimpa arwah dan sentiasa berdoa agar rohnya tenang di sana,” katanya. 

Sementara itu, adik bongsu Kamarudin, Zainuddin, 37, berkata, dia terkejut de�ngan kejadian yang menimpa abangnya yang disifatkan rajin dan baik hati serta mudah mesra dengan semua orang. 

Menurutnya, Kamarudin mungkin kelihatan pendiam dan suka memendam rasa, namun jika kena caranya, dia boleh bergurau dan mesra dengan sesiapa saja.: 

“Abang saya juga meminati muzik dan membuka studio Let’s Go Entertainment awal tahun ini di Kuantan, malah dia pernah bekerja sebagai jurutera muzik di King’s Studio, Petaling Jaya sebelum ini. 

“Setakat ini, saya tidak tahu masa depan studio ini dan segalanya bergantung perbincangan bersama keluarga sama ada menutup atau pun meneruskan operasinya,” katanya. 

Zainuddin yang kali terakhir menghantar abangnya ke Terminal Makmur pada pagi sehari sebelum kehilangannya berkata, Kamarudin tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap ketika itu. 

“Segalanya seperti biasa, arwah tidak menunjukkan sebarang sifat yang aneh, buang tebiat ataupun meluahkan sebarang masalah. 

“Sampai sekarang, saya memang masih terkejut namun saya reda pemergiannya, malah abang saya berhasrat untuk membuka studio rakaman,” katanya.

No comments:

Post a Comment