Tuesday, September 14, 2010

UMNO, Perkasa boleh saling membantu


PUTRAJAYA 13 Sept. - "UMNO dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) boleh saling membantu," begitulah kenyataan Nordin Hassan yang merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian dan Pengerusi Perkasa di Putrajaya.
Nordin berkata, beliau secara peribadinya melihat kedua-dua parti dan pertubuhan itu mempunyai matlamat yang sehaluan iaitu untuk memperjuangkan kepentingan negara.
"Saya tidak melihat Perkasa menentang UMNO, saya juga tidak melihat ada percanggahan antara satu sama lain.
"UMNO dan Perkasa mempunyai matlamat yang sama iaitu memperjuangkan nasib kaum Melayu dan kepentingan kaum lain di bawah konsep 1Malaysia," katanya ketika dihubungiUtusan Malaysia, hari ini.
Setiausaha Agung UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini dilaporkan berkata, Nordin telah mendapat kebenaran daripadanya untuk menyertai Perkasa.
Tengku Adnan turut menafikan UMNO mempunyai hubungan rapat dengan Perkasa tetapi beliau mengakui terdapat sesetengah pemimpin akar umbi yang aktif dalam Perkasa.
Bekas Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad semalam pula mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan UMNO untuk menjauhkan diri daripada Perkasa boleh menyebabkan parti itu kehilangan sokongan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
Dalam pada itu, Nordin berkata, beliau menghormati kenyataan Tengku Adnan mengenai hubungan UMNO dengan Perkasa.
"Saya tidak ingin mengulas panjang lebar mengenai perkara ini, saya menghormati kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung parti," katanya.

No comments:

Post a Comment