Tuesday, September 14, 2010

MCA kesal pandangan mahu UMNO dampingi Perkasa


KUALA LUMPUR 13 Sept. - MCA menegaskan UMNO akan hilang sokongan daripada masyarakat pelbagai kaum di negara ini jika parti itu terus menjalinkan hubungan erat dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, sehubungan itu pihaknya mengalu-alukan pendirian pemimpin UMNO menjauhkan diri daripada Perkasa dan Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.
Tegasnya, ia langkah yang wajar kerana Barisan Nasional (BN) adalah gabungan parti komponen yang mewakili pelbagai kaum di negara ini.
"Justeru, pembangunan BN adalah disokong oleh semua kaum di negara ini. Ia bukan hanya dapat sokongan daripada masyarakat Melayu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengingatkan kira-kira 1.3 juta ahli parti berkenaan di seluruh negara yang menyertai Perkasa supaya tahu membezakan antara perjuangan parti dan pertubuhan itu.
Kata beliau, UMNO tidak menghalang ahlinya menyertai Perkasa tetapi mereka harus menyokong calon-calon BN semasa pilihan raya kelak.
Pada masa sama, Cho Ha berkata, beliau berasa kesal dengan kenyataan tokoh tertentu yang mendakwa UMNO perlu memihak Perkasa untuk terus menang pada pilihan raya umum kelak.
"BN tidak akan memenangi semula sokongan rakyat Malaysia jika bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlampau ini.
"Ini kerana sebarang hubungan dengan kumpulan berkenaan hanya akan menyebabkan hilangnya keyakinan masyarakat terhadap BN," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa BN tidak seharusnya berkompromi dan bertolak-ansur dengan mana-mana pertubuhan yang bersifat perkauman.
Katanya, sebagai parti politik bertanggungjawab, BN akan memastikan masa depan Malaysia tidak terjejas yang diakibatkan oleh sifat perkauman Perkasa.

No comments:

Post a Comment