Tuesday, September 14, 2010

Ramai berasa kehilangan tokoh usahawan




2010/09/14

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk pemimpin negara dan selebriti menyifatkan kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, sebagai satu kehilangan besar dalam sektor keusahawanan negara, khususnya dalam perniagaan kosmetik. 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie, berkata Sosilawati adalah seorang usahawan yang berjaya dalam kerjaya dan kehilangannya adalah satu kerugian kepada sektor keusahawanan.Beliau yang memuji kecekapan pihak polis dalam siasatan kes itu, turut mengecam kekejaman yang dilakukan suspek pembunuhan berkenaan dan mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap pesalah.
“Mereka yang bertanggungjawab dengan pembunuhan ini semestinya dikutuk dan dibawa ke muka pengadilan serta dijatuhkan hukuman setimpal dengan undang-undang,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang juga rakan serta jiran Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak berkata selagi DNA tulang yang ditemui belum mengesahkan ia adalah Sosilawati, selagi itulah beliau masih berharap ada harapan untuk melihat rakannya itu pulang. 

“Saya masih berharap akan berlaku keajaiban dan sehingga belum dapat dipastikan saya tidak menganggap dia sudah menjadi arwah,” katanya ketika mengunjungi keluarga Sosilawati di sini, semalam. 

Presiden Majlis Usahawan Malaysia (MUM), Datuk Suhaimi Yacob berkata, Sosilawati adalah seorang usahawan terkenal dan sudah melahirkan ramai usahawan lain di seluruh negara melalui rangkaian produk kosmetiknya. 
“MUM berharap ahli keluarganya dapat meneruskan usaha Allahyarhamah dan kami berdoa supaya Rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya. 

Rakan artis, Erra Fazira berkata, walaupun tidak mengenali rapat Sosilawati, beliau pernah menghubungi jutawan kosmetik itu mengenai perniagaan. 

“Sosilawati adalah seorang yang tidak lokek berkongsi pengalaman dan sedia membantu orang lain, terutama anak bangsanya untuk mengecapi kejayaan dalam perniagaan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment