Wednesday, September 15, 2010

Kekurangan bukti punca SKMM gagal



JELEBU - Kekurangan bukti dan ketiadaan pakar forensik komputer antara perkara yang menyebabkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) gagal membawa beberapa kes penghinaan dan hasutan yang berlaku dalam laman web ke mahkamah.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, soal pokok untuk pendakwaan ialah bukti yang kukuh dan mencukupi. 

“Apabila disiasat, kebanyakan bukti telah dipadamkan dan gagal dikesan,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri di sini, semalam. 

Oleh yang demikian, Rais berkata, langkah SMKM menubuhkan pasukan khas, antara lain adalah untuk mendalami ilmu forensik komputer yang mampu mendapatkan semula maklumat, walaupun maklumat pada cakera keras komputer sudah dipadamkan. 

“Dengan pengetahuan forensik komputer, maka kita lebih mudah untuk berhadapan dengan Facebook, Twitter dan cara mereka menggunakan sesuatu alamat di bawah laman web biasa,” katanya. 

Katanya, kerajaan amat serius untuk menyelamatkan negara ini daripada pelbagai perkembangan negatif yang disebarkan dalam internet seperti penghinaan yang pernah dibuat oleh Wee Meng Chee atau Namewee terhadap lagu Negaraku dan Tenaga Nasional Berhad. 

Beliau memaklumkan terdapat 13 kes penghinaan dan hasutan terhadap perkauman di negara ini, telah diserahkan ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan. : - Bernama

No comments:

Post a Comment