Wednesday, September 15, 2010

Kenal pasti calon Tengku Mahkota

KOTA BHARU: Selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 berkuat kuasa kelmarin, Tuanku Muhammad Faris Petra, kini dalam proses mengenal pasti calon paling layak sebagai Tengku Mahkota Kelantan disandang baginda sebelum ini.
Ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Shukri Mohamad berkata, sekurang-kurangnya tempoh tiga bulan diperlukan untuk mengisi kekosongan jawatan itu dan Istana Kelantan sedang menimbang perkara itu.
“Setakat hari ini belum ada Tengku Mahkota baru dilantik tetapi tentulah Institusi Diraja Kelantan tidak boleh berfungsi dengan baik tanpa Tengku Mahkota. Pihak kami memerlukan tiga bulan seperti Majlis Pertabalan.

“Mungkin Tengku Mahkota akan diumumkan pada hari Majlis Pertabalan dan cara pelantikan mengikut Perlembagaan Negeri. Dalam keadaan sekarang, Kelantan memang memerlukan Tengku Mahkota. Pihak Istana Kelantan sedang memerhatikan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media bersama sekumpulan wartawan media cetak dan elektronik sebaik selesai menyembah maklum daripada Tuanku Muhammad Faris Petra untuk bertemu wakil media di Istana Balai Besar, di sini, semalam.

Menurutnya, Istana Kelantan selama ini mengamalkan sikap berhati-hati dengan media kerana pertelagahan yang berlaku adalah pertelagahan keluarga dan enggan melayan kenyataan memihak kepada sebelah pihak.

“Itu bukan cara kami, sebab itu kalau ada apa-apa kenyataan sebelah pihak, kami jarang memberi maklum balas sebab tidak mahu Institusi Sultan dijadikan bahan laga seperti rakyat biasa. Sebab itu tiada komen dan pertikaian ini dalam satu bumbung.

“Kami cuba jaga itu supaya tidak jadi bahan ketawa. Sekarang era baru dan saya mengambil sikap berdepan dengan media atas berita yang positif dan membangun. Kami tidak layan benda yang negatif,” katanya.

Mengulas lanjut berkaitan satu kenyataan dikeluarkan Malaysiakini yang merujuk kepada kenyataan media dibuat seorang peguam dari firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli yang mendakwa firmanya mewakili Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

“Pelantikan Tetuan Rashid Zulkifli sebagai peguam Sultan Ismail Petra masih lagi dipertikaikan dan sedang dicabar. Isu pelantikan atau perwakilan Tetuan Rashid Zulkifli adalah satu perkara akan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

“Tetuan Rashid Zulkifli gagal mengemukakan apa-apa keterangan perubatan membuktikan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan diperlukan untuk mengarahkan firma itu bertindak bagi pihak baginda berhubung prosiding di Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Katanya, Tetuan Rashid Zulkifli juga gagal mendedahkan apa-apa keterangan perubatan menunjukkan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan untuk memahami kandungan petisyen dan afidavit didakwa difailkan di Mahkamah Persekutuan.

No comments:

Post a Comment