Wednesday, September 15, 2010

Penurunan kadar jenayah boleh dicapai – Hishammuddin


15/09/2010 1:14pm

PUTRAJAYA 15 Sept. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin matlamat untuk menurunkan kadar jenayah secara keseluruhan sebanyak lima peratus dan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang Disember ini akan tercapai.
Beliau berkata, laporan yang dikeluarkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) mengenai penurunan kadar jenayah, meneguhkan keyakinan semua pihak untuk mencapai matlamat tersebut.
"Pencapaian bagi menurunkan indeks jenayah keseluruhan dari Januari hingga Ogos lalu sebanyak 16.24 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan penurunan signifikan 37 peratus jenayah jalanan dalam tempoh sama adalah kesan daripada pelbagai langkah dan pendekatan luar kotak yang dicetuskan di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kehadiran anggota polis yang lebih ramai, skim rondaan sukarela di samping penugasan semula 6,791 personel polis ke barisan depan dan 3,814 anggota awam mengendali tugas meja memberi impak besar dalam membanteras jenayah.
"Semuanya adalah hasil daripada kerjasama, komitmen dan kebijaksanaan hasil kajian dan perbincangan yang mendalam antara PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan dibantu oleh agensi-agensi yang berteraskan konsep kesukarelawanan seperti Angkatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment