Tuesday, October 19, 2010

500 sukarelawan dari 17 negara sertai misi ke Gaza



GEORGE TOWN 18 Okt. - Kira-kira 500 sukarelawan dari 17 negara termasuk Malaysia akan menyertai Kafilah Perpaduan Asia ke Gaza Disember ini bagi membantu rakyat Palestin di sana.
Setiausaha Agong Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, kafilah berkenaan akan bergerak dari India pada 2 Disember dan melalui 18 bandar di Pakistan, Iran, Turki untuk memecah kepungan Gaza menerusi jalan laut.
Katanya, kafilah berkenaan adalah anjuran Perpaduan Rakyat Asia untuk Palestin (APSP) iaitu gabungan pertubuhan rakyat, pergerakan sosial, kesatuan sekerja dan institusi masyarakat awam Asia.
"Mapim yang merupakan anggota APSP menyokong sepenuhnya inisiatif itu sebagai usaha untuk menarik penyertaan masyarakat awam Asia bagi membantu rakyat Palestin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 15 rakyat Malaysia akan menyertai misi itu yang dijadualkan tiba di New Delhi, India pada 1 Disember ini.
"Orang ramai atau sukarelawan yang berminat untuk menyertai kafilah berkenaan boleh menghubungi Mapim dan kami bersedia untuk mendaftarkan mereka serta menyelaras peralatan yang diperlukan bagi perjalanan ke Gaza," katanya.
Mohd Azmi berkata, kafilah berkenaan yang membawa bahan bantuan kepada penduduk Gaza akan melintasi Pakistan melalui sempadan Wagah dan beberapa negara sebelum dijangka belayar ke Gaza pada 26 Disember.
"Kami harap kerajaan dan rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada usaha mulia itu yang dapat mengembalikan pembebasan, keadilan dan hak rakyat Palestin," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment