Tuesday, October 19, 2010

PDRM bangunkan unit risikan tangani jenayah




2010/10/19

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang membangunkan sistem "Central Intelligence Unit" (CIU) sebagai strategi jangka panjang untuk meningkatkan kemampuan polis dalam menyelesaikan kes jenayah berpandukan maklumat risikan tepat. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata PDRM juga sentiasa menambah jumlah pegawai penyiasat dari semasa ke semasa untuk memenuhi kuota yang ditetapkan.Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, PDRM berjaya menyelesaikan 230 kes atau 59.74 peratus daripada 385 kes bunuh yang dilaporkan."Bagi tahun 2008, sebanyak 446 kes atau 68.2 peratus daripada 654 kes telah diselesaikan dan bagi tahun 2009, jumlah penyelesaian kes ialah 392 kes atau 65.55 peratus daripada 598 kes yang dilapor," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai statistik penyelesaian kes bunuh di negara ini dan langkah kerajaan dalam memerangi jenayah berat seperti bunuh dan rompakan. 

Abu Seman berkata, kes jenayah seperti samun, bunuh, rogol dan mencederakan dikategori sebagai jenayah kekerasan dan bagi memeranginya, PDRM sentiasa meningkatkan rondaan dengan melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Rela dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM). 

"Sehingga 20 September lalu, seramai 4,725 anggota Rela dan JPAM dilantik khusus untuk menjalankan tugas itu," katanya. 
Abu Seman berkata, PDRM juga memiliki Pasukan Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) di bawah Makmal Forensik. 

Beliau berkata, Makmal Forensik yang mula beroperasi sepenuhnya pada 2002 itu ditubuh untuk menyelesaikan kes jenayah yang memerlukan kaedah penyiasatan canggih untuk membawa pesalah ke muka pengadilan. 

"Anggota Pasukan CSI juga diwujudkan dalam kontinjen PDRM di seluruh negara selain daripada yang dilantik dan ditempatkan di Makmal Forensik di Cheras," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar). - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment