Friday, October 1, 2010

Cermin diri sebelum bercakap isu perpaduan Melayu



SHAH ALAM – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dinasihatkan memperbetulkan dahulu kesilapan Pas yang selama ini bertanggungjawab memecahbelahkan orang Melayu sebelum mengajak ahli UMNO menyertai parti itu.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, Pas selama ini telah membawa kerosakan kepada penyatuan Melayu menerusi pelbagai fatwa yang bertopengkan agama untuk kepentingan politik mereka.

Menurutnya, pemimpin Pas sebelum ini beberapa kali telah menolak penyatuan Melayu Islam yang dirintis oleh UMNO walaupun usaha itu mendapat sokongan beberapa pemimpin muda dalam parti itu.

“UMNO sudah beberapa kali menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Pas demi kepentingan orang Melayu Islam, tetapi pemimpin utama mereka, dengan sikap angkuh, menentang usaha tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau turut menyifatkan Pas sebagai tidak jujur apabila bercakap berkenaan dengan perpaduan Melayu, sedangkan mereka masih tetap bersubahat dengan DAP yang jelas menentang segala agenda Melayu.

“Nik Aziz, yang dianggap ulama, masih tetap menghalalkan apa sahaja yang dilakukan DAP yang menentang kepentingan Melayu serta umat Islam di negara ini,” katanya.

Syed Ali, yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, menegaskan kenyataan terbaru Nik Abdul Aziz menyifatkan perpaduan Melayu hanya berlaku dengan cara ahli UMNO menyertai mereka sebagai kenyataan nyanyuk dan gimik politik.

“Beliau sebenarnya membuat kenyataan tersebut untuk meredakan pelbagai isu dan masalah yang sedang berlaku dalam Pas akhir-akhir ini yang menyerlahkan kepimpinan beliau sebagai Menteri Besar,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Ali meyifatkan pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah itu sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sebagai tepat.

“Saya gembira dengan pelantikan beliau yang dibantu oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai timbalannya, ini membuka ruang kepada UMNO untuk merampas kerusi DUN berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment