Friday, October 1, 2010

Pesalah trafik PBT mungkin disenarai hitam





2010/10/01

SHAH ALAM: Pesalah trafik yang menerima kompaun bagi kesalahan trafik yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mungkin menghadapi tindakan disenarai hitam apabila rang undang-undang pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 diluluskan Parlimen. 

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata tindakan itu boleh diambil jika PBT mendapat kebenaran menteri membuat satu jadual khas bagi kesalahan yang boleh disenarai hitam dan tindakan dikenakan kepada pesalah trafik jika PBT memohon kepada JPJ apabila pindaan akta diluluskan seawal Januari depan.
Misalnya, jika seorang pesalah mempunyai lima kompaun trafik PBT, PBT boleh meminta nama pesalah terbabit disenaraihitamkan.
Bayaran kompaun tertunggak membabitkan kesalahan trafik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) saja mencecah berjuta ringgit, katanya pada sidang media selepas sesi penerangan pada Hari terbuka JPJ di SACC Mall di sini, semalam. 

Hari terbuka itu dirasmikan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri. 

Solah berkata, pesalah trafik yang pernah dikenakan saman atau kompaun trafik bagi kesalahan trafik oleh JPJ dan polis juga bakal menghadapi tindakan lebih tegas termasuk disekat daripada berurusan dengan JPJ sehingga kompaun tertunggak dilunaskan. 

Katanya, ini termasuk proses tukar nama pada kenderaan, membeli dan mendaftarkan kereta baru serta apa-apa urusan membabitkan JPJ.

No comments:

Post a Comment