Saturday, October 23, 2010

Ibu bakal pengantin yakin anak dilarikan





2010/10/23

POKOK SENA: Ibu bakal pengantin yang hilang selepas keluar ke tempat kerja di Jalan Pegawai, Alor Setar, Sabtu lalu, mengesyaki ada individu yang berniat jahat melarikan anaknya untuk tujuan yang tidak baik. 

Zaiton Abdul Halim, 58, percaya kemungkinan, Siti Sakinah Ismail, 25, yang juga anak bongsu empat beradik itu disembunyikan individu tertentu di tempat yang sukar dikesan dan dipercayai masih berada di negeri ini.
“Itu naluri saya sebagai ibu, hati saya berat mengatakan ada individu yang sembunyikan dan kemungkinan mereka masih berada di negeri ini atau paling jauh di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kolam, di sini, semalam.
Semalam akhbar ini melaporkan Siti Sakinah yang dijangka akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang pemuda dari Kuala Sanglang, Perlis, pada 20 November ini hilang ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai, Alor Setar, Sabtu lalu. 

Siti Sakinah disedari hilang selepas pengurus tempat kerjanya menelefon ibunya pada jam 9.30 pagi bertanya mengapa dia tidak hadir ke pejabat. 

Kehilangan Siti Sakinah membingungkan keluarganya kerana kereta Perodua Viva yang dipandunya turut tidak dapat dikesan. 

Sebaik menyedari kehilangannya beberapa ahli keluarga mencarinya di sekitar Alor Setar sebelum membuat laporan polis di balai polis Pokok Sena. 
“Saya tak percaya anak melarikan diri. Ini mesti perbuatan pihak tertentu yang tidak senang apabila mengetahui dia hendak berkahwin. Saya juga tidak percaya dia berada di negara jiran (Selatan Thailand) kerana dia tidak mempunyai dokumen perjalanan ke luar,” katanya. 

Zaiton berkata, sekiranya Siti Sakinah tidak ditemui, majlis kenduri akan tetap diadakan pada 20 November ini kerana kad sudah diedarkan. 

“Saya berharap Siti Sakinah akan pulang menjelang hari perkahwinannya kerana semua persiapan sudah dibuat,” katanya.

No comments:

Post a Comment