Saturday, October 23, 2010

Jumlah perceraian meningkat 545 kes





Jumlah perceraian meningkat 545 kes 

SHAH ALAM – Sebanyak 4,614 kes perceraian direkodkan di Selangor sepanjang 2009, meningkat 545 kes berbanding 4,069 pada tahun sebelumnya. 

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, jumlah itu adalah satu per empat daripada jumlah pasangan mendirikan rumah tangga setiap tahun. 

“Bahagian Undang-Undang Keluarga (Jais) sentiasa berusaha memberikan perhatian utama pada pembangunan keluarga dan insan di Selangor kerana Jais yakin kecemerlangan insan bermula dari sistem kekeluargaan yang berlandaskan agama. 

“Kita juga sentiasa mengumpulkan statistik nikah, cerai dan rujuk di Selangor ini agar data yang ada dapat dianalisa dan seterusnya mampu menyusun pelbagai aktiviti berbentuk kekeluargaan bagi mengatasi masalah kekacauan dalam institusi keluarga,” katanya ketika berucapa pada majlis perasmian penutup Konvensyen Keluarga Sakinah Negeri Selangor yang disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Dewan Jubli Perak, semalam. 

Mengenai konvensyen tersebut, Mohamed Khusrin berkata, ia julung kali diadakan itu dilaksanakan dalam usaha membangunkan keluarga sakinah dan seterusnya melahirkan bangsa cemerlang. 

“Konvensyen ini berjaya mengupas beberapa perkara berkaitan isu rumahtangga masa kini iaitu sifat amanah dalam berumahtangga, akidah sejahtera umat terpelihara, rahmat sekalian alam, objektif syariah dan zina tragedi sedih umat kini. 

“Saya berharap, kupasan tajuk yang disusun sedikit sebanyak membuka pemikiran kita semua selain membantu mereka yang menghadapi masalah kelesuan rumah tangga,” katanya.

No comments:

Post a Comment