Saturday, October 23, 2010

Viva Palestina tiba di Gaza



GAZA - Lebih 100 kenderaan dan lori membawa aktivis kemanusiaan tiba di Genting Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir bagi menghantar bantuan bernilai hampir AS$5 juta (RM15.6 juta) kepada penduduk Palestin di wilayah itu. 

Kapal konvoi antarabangsa Viva Palestina tiba di pelabuhan Al-Arish, Mesir dari Syria, awal pagi kelmarin.: 

Hampir 300 aktivis lain tiba di Lapangan Terbang Al-Arish dan menyertai penumpang kapal Viva Palestina sebelum ke Gaza menggunakan jalan darat. 

Konvoi antarabangsa terbesar yang dianjurkan oleh ahli politik Britain, George Galloway itu disertai oleh aktivis dari Turki, Algeria, Maghribi, Jordan dan lebih 20 negara lain. 

Bagaimanapun, Galloway tidak bersama konvoi itu selepas dilarang memasuki Mesir berikutan pertembungan antara aktivis Viva Palestina daripada misi sebelum ini dengan polis Mesir di Al-Arish, 45 kilometer dari Gaza, Januari lalu. 

Perjalanan darat Viva Palestina sejauh 4,828 kilometer bermula di Britain pada 18 September lalu dan tiba di Syria, dua minggu selepas itu. 

Peserta konvoi bantuan kemanusiaan itu terkandas lebih dua minggu di Syria sementara menunggu kebenaran Kaherah untuk berlayar ke Mesir dengan membawa bantuan berupa bekalan perubatan dan alatan sekolah. 

Pegawai Hamas dan ratusan penduduk Gaza menyambut konvoi itu sambil mengibarkan bendera Palestin dan bendera negara lain yang menyertai misi itu.: 

Lebih 1.5 juta penduduk Gaza menderita kekurangan bekalan asas selepas Israel mengenakan sekatan ke atas wilayah Palestin itu atas alasan menghalang pemerintah Gaza, kumpulan pejuang Hamas daripada memperoleh senjata sejak 2007. 

Antara peserta konvoi Viva Palestina adalah penumpang kapal Mavi Marmara yang terselamat dalam serangan ganas tentera rejim ke atas konvoi Freedom Flotilla, Mei lalu.

No comments:

Post a Comment