Saturday, October 23, 2010

Minta halal makan minum

KUANTAN: “Ketika terbaring berlumuran darah dan sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah sempat meminta ibunya menghalalkan makan minumnya,” kata Abdul Rauf Salleh, 63, datuk Muhammad Naili Nafis Zakaria, 14.
Menurutnya, ketika kejadian, cucunya yang juga anak kedua daripada tiga beradik tinggal bertiga bersama kakak dan adik bongsunya di rumah manakala ibunya, Noranita Abdul Rauf, 37, berada di surau berhampiran menunaikan solat Asar.

“Ketika ibunya pulang ke rumah, dia mendapati arwah terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan ketika itu arwah meminta ibunya menghalalkan makan minumnya.

“Arwah juga muntah sebelum dibawa ke klinik berhampiran oleh jiran, tetapi disahkan meninggal dunia di klinik kesihatan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia hanya dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 5.30 petang dan terkilan kerana mangsa cucu kesayangannya, malah hubungan mereka berdua mesra.

Jenazah mangsa dikebumikan kira-kira jam 9 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Balok, di sini.

No comments:

Post a Comment