Tuesday, November 30, 2010

Bapa Nurin batal saman, selesai kes luar mahkamah





2010/11/30

KUALA LUMPUR: Bapa kanak-kanak, Nurin Jazlin yang mati dibunuh kejam tiga tahun lalu, semalam menarik balik samannya terhadap Ketua Polis Negara dan tiga pihak lain atas dakwaan cuai berikutan gambar bedah siasat anaknya disebar melalui internet selepas kedua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah. 

Peguam Kanan Persekutuan, Zureen Elina Mohd Dom, berkata selepas melalui proses perantaraan, Jazimin Abdul Jalil bersetuju menarik balik saman itu tanpa kebebasan memfailkan semula.
Beliau berkata, saman itu juga ditarik balik tanpa sebarang perintah berhubung kos, bagaimanapun enggan dedahkan syarat penyelesaian dipersetujui kedua-dua pihak.
Penyelesaian itu direkodkan Hakim Harmindar Singh Dhaliwal dalam kamar beliau semalam yang turut dihadiri peguam Siti Natasha Basheer Hassan yang mewakili Jazimin. 

Jazimin, 35, pekerja sebuah syarikat keselamatan memfail saman terhadap Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Petaling Jaya dan Kerajaan Malaysia pada 21 Ogos 2008 atas dakwaan cuai sehingga menyebabkan gambar bedah siasat anaknya disebar di internet. 

Beliau menuntut daripada defendan antaranya ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk kerana mendakwa gambar itu sulit dan peribadi serta bukan bagi tatapan umum.

No comments:

Post a Comment