Tuesday, November 30, 2010

Norzulaika perlukan bantuan segera





Zawani Ismail membelai Norzulaika Zakaria di rumahnya Kampung Dusun Langgar, semalam.


TUMPAT 29 Nov. - Nilai RM4,500 bukanlah jumlah yang banyak kepada sesetengah orang. Namun bagi bayi yang menghidap jantung berlubang, Norzulaika Zakaria, 2, wang itu amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawanya.
Ibu bapa bayi tersebut, Zawani Ismail, 32, dan Zakaria Mohd. Yusof, 59, sehingga kini masih gagal menyediakan wang tersebut untuk kos pembedahan Norzulaika kerana kedua-dua mereka tidak bekerja, justeru bantuan daripada orang ramai sangat diperlukan.
Zawani ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Langgar di sini berkata, kesusahan yang dihadapi semakin bertambah apabila suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur telah diberhentikan kerja.
Katanya, ia disebabkan suaminya kerap mengambil cuti untuk menjaga Norzulaika.
"Anak saya perlu dibedah segera pada 1 Februari tahun depan kerana masalah jantungnya semakin kronik tetapi saya dan suami tidak mempunyai wang sebanyak itu.
"Saya memohon simpati daripada orang ramai untuk membantu menyelamatkan nyawa anak bongsu saya ini," katanya.
Menurut Zawani, dia tidak pernah menyangka anaknya menghadapi masalah jantung kerana dilahirkan dalam keadaan sihat dan membesar dengan sempurna serta aktif seperti kanak-kanak lain.
Bagaimanapun Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) mendapati Norzulaika menghadapi masalah jantung berlubang selepas dia dimasukkan ke hospital berkenaan pada Ramadan lalu akibat demam.
Zawani berkata, anaknya telah ditahan di wad selama dua minggu dan selepas itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama seminggu.
"Semasa Norzulaika menjalani rawatan di HPRZ II, doktor mendapati jantungnya berlubang sebesar 2.5 sentimeter dan perlu menjalani pembedahan pertama di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
"Kemungkinan selepas pembedahan pertama, Norzulaika akan menjalani pembedahan susulan pula. Macam mana saya nak mencari wang tersebut kerana yang pertama pun kami tidak dapat menyediakannya," ujarnya.
Tambahnya, dia juga turut bimbang kerana tidak dapat menyediakan keperluan pakaian sekolah untuk anak sulungnya yang akan memasuki darjah dua pada tahun depan.
Bantuan boleh disampaikan atas nama Zawani Ismail melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) nombor akaun: 0311829-84367668-0 atau menghubunginya di talian 019-3428129 dan 017-2932968.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad ketika dihubungi mengesahkan bayi berkenaan telah dirawat di hospital tersebut baru-baru ini dan dikesan menghadapi masalah jantung berlubang.
"Doktor yang merawatnya mengesahkan bayi ini bukan sahaja mempunyai masalah jantung tetapi juga beberapa penyakit lain," katanya.

No comments:

Post a Comment