Tuesday, November 30, 2010

Tak perlu menara 100 tingkat



KUALA LUMPUR – Cadangan membina bangunan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat hanya akan meningkatkan lambakan hartanah dan ruang pejabat seperti yang sedang berlaku di Lembah Klang pada masa ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketika Malaysia sedang berusaha menuju Wawasan 2020, adalah lebih baik menyalurkan peruntukan ke arah perkara yang lebih penting.

“Kalau anda bertanya pendapat saya, saya ingin biarkan Menara Berkembar Petronas kekal sebagai yang tertinggi di Malaysia. Kita tak perlukan menara lain yang lebih tinggi daripada itu.

“Lagipun, kita sudah ada banyak kemudahan dan ruang pejabat. Ia mencukupi. Kita patut bina menara 100 tingkat tapi mungkin kemudian. Mungkin selepas saya tiada lagi,” katanya dalam nada bergurau ketika menjawab soalan daripada hadirin pada persidangan ‘Revisiting Vision 2020’ di Hotel Nikko, di sini, semalam.

Menurutnya, pandangan tersebut berbeza dan mungkin berat sebelah kerana Menara Berkembar Petronas adalah projek yang dibina semasa pemerintahannya.

Terdahulu, Mahathir menggesa kerajaan merujuk pandangan rakyat berhubung cadangan projek pembinaan bangunan Warisan Merdeka.

“Mereka boleh bina, tetapi bukan sekarang, mungkin kemudian... apabila saya tiada lagi,” katanya dalam nada bergurau.

Katanya, rancangan pembinaan menara itu merupakan projek yang baik untuk negara kerana boleh menambahkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

"Selain itu ia akan mencetuskan peluang-peluang perniagaan di kalangan syarikat-syarikat yang terdapat di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment