Tuesday, November 30, 2010

PAS tak rela kerajaan ditadbir bukan Islam



Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
2010/11/30

Pemimpin parti tidak gadai prinsip perjuangan 

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan menggadai prinsip perjuangannya iaitu untuk menegakkan sebuah kerajaan Islam dengan membiarkan negara ditadbir oleh bukan Islam yang tidak mengamalkan sistem pemerintahan Islam.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan, berkata perjuangan PAS adalah untuk membentuk sebuah kerajaan Islam dan bukannya untuk menukar kerajaan supaya dipimpin oleh bukan Islam.
“Kita mahu sistem pentadbiran diislahkan (diperbaharui) dan saya yakin akan meminimumkan segala apa yang berlaku (rasuah dan salah guna kuasa) itu sewajarnya. 

“Kita tidak mahu duduk di bawah sistem perjuangan bukan Islam, walaupun pemerintahan itu tidak mengamalkan rasuah. Kita boleh menerima kerajaan itu sama ada kerajaan Melayu ataupun Cina sekiranya Islam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Kelmarin, ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR ketujuh, Anwar yang kini berdepan dengan tuduhan liwat berkata, beliau lebih rela hidup di bawah pemerintahan bukan Islam berbanding pemerintah orang Islam yang penuh rasuah serta salah laku. 

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan asas kepada sebuah kepemimpinan ataupun keadilan adalah kemampuan manusia hidup aman di bawah satu pemerintahan. 
“Persoalannya, apakah kezaliman yang berlaku di negara ini tidak ada ruang langsung untuk manusia berfikir dan bercakap. Juga apakah ada jaminan (pemerintah) bukan Islam boleh berlaku adil. 

“Saya setuju pemerintah hendaklah tegakkan keadilan untuk rakyat, untuk Islam keadilan hendaklah berasaskan Islam, jadi kita memerlukan pemimpin Muslim yang adil berbanding bukan Islam,” katanya. 

Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar mendesak Anwar supaya meninggalkan negara ini sekiranya beliau tidak boleh menghormati Perlembagaan dan Raja Melayu sehingga sanggup berkompromi dengan bukan Islam. 

“Jika tidak ada kesetiaan terhadap Raja Melayu dan Perlembagaan Negara tinggalkan saja Malaysia, cari negara lain. Biar orang Melayu memimpin negara untuk semua kaum seperti sebelum kemerdekaan dulu,” katanya. 

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata jika negara dipimpin bukan Islam apakah mereka akan mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan.

No comments:

Post a Comment