Wednesday, November 24, 2010

Kesan tembakan cubaan hentikan kereta: Saksi



Oleh Rafidah Mat Ruzki

2010/11/24

Sebahagian kelongsong peluru ditemui di bawah kenderaan

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini semalam diberitahu kesan tembakan pada kereta dipandu remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, April lalu, menunjukkan polis cuba menghentikan kereta dipandunya. 

Saksi pendakwaan ke-25, Cif Inspektor Mazli Jusoh dari Cawangan Forensik IPK Selangor, berkata ia berdasarkan corak kesan tembakan yang ditemui pada badan kereta itu, iaitu sebahagian besarnya terkena di bahagian bawah kereta.
Saya memeriksa kereta itu selepas kejadian 26 April lalu dan kebanyakan kesan tembakan adalah di bahagian bawah kenderaan.
Hanya satu kesan tembakan ditemui di bahagian atas kereta, iaitu kesan tembakan yang memasuki cermin belakang kereta dan menembusi tempat rehat kepala pemandu, katanya. 

Mazli berkata demikian ketika menjawab soalan peguam bela Koperal Jenain Subi, M Athimulan pada perbicaraan kes kematian Aminulrasyid di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar. 

Jenain, 48, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan menyebabkan kematian Aminulrasyid antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11 di sini, 26 April lalu. 

Mazli berkata, beliau hanya menemui satu kelongsong peluru ketika pertama kali menyiasat tempat kejadian, manakala 18 kelongsong peluru dan anak peluru lain ditemui dua hari selepas itu iaitu pada 28 April. 
Beliau mengakui kemungkinan ada lagi anak atau kelongsong peluru di tempat kejadian yang tidak ditemui. 

Mazli turut bersetuju dengan cadangan Athimulan kemungkinan barang bukti diganggu berikutan ia dipungut dua hari selepas kejadian. 

Sementara itu, Latifah, pasukan pendakwaan dan pembelaan serta saksi utama kes itu, Mohd Azamuddin Omar, 15, melawat tempat kejadian, petang semalam. 

Mohd Azamuddin menceritakan bagaimana kereta dinaikinya bersama Aminulrasyid terbabas selepas kepala rakannya terkena peluru ketika melalui persimpangan Jalan Gamelan 11/2E dan Jalan Tarian 11/2. 

Beliau turut menunjukkan lokasi kereta itu terbabas di Jalan Tarian 11/2 dan bagaimana beliau terpaksa keluar melalui tingkap untuk menyelamatkan diri.

No comments:

Post a Comment