Wednesday, November 24, 2010

Paling sedap



Oleh Misiah Taib 

2010/11/23

Kampung Awat-Awat terkenal juadah ikan tahai salai

LAWAS: "Selamat datang ke Kampung Awat-Awat, perkampungan yang menghasilkan 'dadah' paling sedap di Sarawak". 

Ungkapan ini biasa kedengaran setiap kali penduduk di perkampungan nelayan itu menerima kunjungan rombongan pelawat ke kampung berkenaan.
Bayangkanlah 95 peratus daripada 1,400 penduduk di perkampungan itu menjadikan 'dadah' sebagai sumber pendapatan utama mereka.
Tidak hairanlah setiap pelawat pasti akan ketagih 'dadah' setiap kali berkunjung ke Kampung Awat-Awat yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari Pekan Lawas. 

Namun 'dadah' yang dimaksudkan, bukanlah sejenis dadah berbahaya dan memudaratkan kesihatan, sebaliknya ia adalah penyembuh segala penyakit bagi penduduk di Awat-Awat. 

'Dadah' adalah panggilan untuk masakan daripada ikan tahai - sejenis ikan salai daripada spesis ikan Aur-Aur atau ikan Tamban, yang amat popular di Lawas, kawasan paling utara di Sarawak. 

Masak air ikan tahai atau lebih dikenali sebagai 'dadah' di kalangan penduduk Lawas dipercayai boleh menyembuh pelbagai jenis penyakit termasuk untuk memulihkan kesihatan ibu selepas bersalin, meredakan demam panas dan melegakan sakit badan. 
Seorang penduduk, Hajijah Dollah, 60, berkata ramuan untuk membuat 'dadah' selain ikan tahai yang ditumbuk ialah asam kulit, bawang, cili, aji dan garam dengan tempoh memasaknya selama 20 minit. 

"Masyarakat Melayu-Brunei di Awat-Awat mengamalkan masakan 'dadah' ini untuk makanan setiap kali selepas bersalin dan ia benar-benar berkesan," kata beliau. 

Bagi sambal ‘dadah’ pula, Dayang Rosnah Bongsu, 50, berkata ia diperbuat daripada ikan tahai yang ditumbuk, lada, asam jawa, garam, aji, gula dan cili boh. 

Selain untuk makan nasi atau nasi lemak, sambal itu juga sedap dimakan dengan roti, lemang atau ketupat. 

Dadah dan sambal dadah ini popular bukan saja di Daerah Lawas, malah juga di daerah berhampiran iaitu Limbang, malah turut diminati rakyat negara jiran, Brunei Darussalam. 

Ini kerana perkampungan Awat-Awat terletak hanya kira-kira 20 minit perjalanan dengan bot dari Muara Brunei dan 45 minit jaraknya dengan bot dari Labuan, jika menaiki bot 60 kuasa kuda. 

Menurut Ketua Kampung Awat-Awat, Esmit Aman, 62, perkampungan atas air itu terbahagi kepada empat kampung kecil Kampung Awat-Awat, Kampung Bangsal, Kampung Ujong dan Kampung Masjid, dengan jumlah penduduk keseluruhan kira-kira 1,400 orang. 

Katanya, 95 peratus penduduk di perkampungan itu adalah nelayan, dengan mereka telah menikmati perubahan pembangunan amat ketara setelah Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu sejak 2006 hinggalah sekarang. 

Daripada tiada jalan raya, kami kini mempunyai jalan raya dan daripada tiada sekolah, kami juga sudah memiliki sekolah rendah, selain dewan masyarakat, masjid dan pelbagai kemudahan lain. 

Selain beberapa pondok memproses 'dadah' di sekitar perkampungan itu, masyarakat nelayan di situ juga dibantu kerajaan mengusahakan ikan dalam sangkar dengan terdapat 160 petak sangkar dibina di situ sejak dua tahun lalu. 

Ikan yang diternak ialah kerapu, ikan siakap, ikan merah dan jenahak dengan setiap sangkar mempunyai 500 ekor ikan. 

Ketua Kampung Ujong, Jenin Munap, 63, berkata ikan sangkar dari kampung itu dijual ke Brunei dan Limbang dengan harga purata RM12 sekilogram. 

"Selain ikan tahai, kami juga menternak ikan sangkar. Semua ini boleh menjana pendapatan sehingga RM5,000 untuk setiap keluarga pada setiap bulan," katanya.

No comments:

Post a Comment