Wednesday, November 24, 2010

Lapan tahun tanggung hutang



Oleh Shaarani Ismail

2010/11/24

KUALA LUMPUR: Seorang pelanggan sebuah hospital swasta di ibu negara yang pernah menerima rawatan jantung mendakwa kos perubatan yang terlalu tinggi dan tidak munasabah mengakibatkan beliau terpaksa menanggung hutang hingga hari ini walaupun sudah lapan tahun rawatan berakhir. 

Viknesvaran Shanmugam, bekas anggota polis berusia 46 tahun berkata, beliau menjalani rawatan pada 2002 selepas mendapat serangan jantung dan dimasukkan ke unit kecemasan hospital berkenaan.
Selepas doktor mengesahkan saya mendapat serangan jantung dan perlu menjalani pembedahan, saya bersetuju kerana ketika itu mempunyai surat jaminan daripada majikan tempat saya bertugas. Pada awalnya saya diberitahu hanya perlu menjalani satu prosedur pembedahan, tetapi selepas pemeriksaan kali kedua, saya diberitahu perlu menjalani sekali lagi prosedur, katanya.
Bagaimanapun, beliau terkejut apabila dikenakan caj sebanyak RM42,000 dan pihak hospital tidak memaklumkan perkara itu kepadanya sebelum pembedahan dilakukan. 

Viknesvaran yang kini bertugas sebagai Pengurus Keselamatan di sebuah syarikat, berkata disebabkan caj rawatan yang ditampung majikan tidak mencukupi, iaitu hanya RM12,000, beliau terpaksa mengeluarkan wang dari akaun kedua KWSP dan semua wang simpanan yang ada bagi menampung kos rawatan, tetapi masih tidak mencukupi. 

Kos dikenakan tidak termasuk rawatan susulan sebanyak RM800 untuk setiap rawatan. Selepas membayar baki rawatan setakat termampu, hospital menghantar notis saman kepada saya menyatakan saya masih mempunyai baki tertunggak RM17,000. 

Akibat tidak mampu menyelesaikan bayaran berkenaan, saya tiada pilihan kecuali turun naik mahkamah dan memohon dibenarkan membuat pembayaran balik secara ansuran setiap bulan, katanya. 
Sehingga hari ini, beliau terpaksa membayar purata RM100 sebulan atau lebih mengikut kemampuan bagi memastikan bayaran tertunggak di hospital berkenaan dapat diselesaikan. 

Viknesvaran berkata, beliau difahamkan baki hutangnya kini RM12,000 selepas enam tahun membuat bayaran bulanan secara ansuran.

No comments:

Post a Comment