Monday, December 13, 2010

'Bukan tak peduli'

KUALA LUMPUR: “Bukan bermakna polis tidak kisah perkara ini kerana polis dari mula lagi sudah jumpa pemandu teksi itu untuk tindakan selanjutnya,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian seorang pemandu teksi yang cedera selepas terkena peluru sesat didakwa dilepaskan seorang anggota polis, 23 September lalu.
Jumaat lalu, mangsa, Yeow Leong Kang, 42, ketika sidang media bersama Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun di sini, mempertimbangkan hasrat untuk menyaman polis terbabit bagi meminta pampasan setimpal dengan penderitaan dialaminya kini.

Mangsa ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, berkata, dia tidak menyangka tindakannya berhenti seketika untuk berehat di tepi jalan dekat Pejabat Pos Jalan Pudu, di sini, kira-kira jam 4.30 petang menjadi mimpi ngerinya selepas terkena peluru sesat menyebabkan kaki kanan dan kirinya cedera teruk.
Zulkifli berkata, pihaknya sudah menyiasat perkara itu sama ada tembakan dilepaskan anggota polis terbabit pada hari kejadian mengikut prosedur Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau sebaliknya.

“Kami akan siasat. Perkara ini berlaku apabila satu operasi dijalankan. Mungkin pemandu itu terperangkap dalam operasi ketika itu.

“Polis akan menjalankan siasatan lanjut bagaimana tembakan itu dilepaskan sama ada mengikut prosedur. Sekiranya ada kelemahan yang berlaku kami akan perbetulkan dan perketat supaya insiden sebegini dielakkan di masa depan,” katanya ketika menghadiri majlis dialognya bersama penduduk Flat Sri Perak, di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu teksi itu sudah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu, malah, dia akan dipanggil lagi bagi membantu siasatan lanjut.

“Jangan berlaku salah faham. Polis sudah pun berjumpa pemandu teksi terbabit ketika kejadian itu. Bukan bermakna polis tidak kisah hal ini.
“Malah, siasatan masih berjalan. Kami akan tengok bagaimana kami melakukan kerja, sekiranya ada kecuaian kami akan mengambil tindakan sesuai,” katanya.

Berhubung kejadian menimpa mangsa, peluru sesat berkenaan mengenai kaki kanannya yang kemudian menembusi tapak kaki kiri.
Dia yang ketika itu berada di dalam teksi terdengar bunyi sesuatu seperti mercun berhampirannya, tidak menyedari kakinya sudah ditembusi peluru sesat itu.

Akibat kecederaan itu, dia menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PP UKM) selama tiga hari dan terpaksa berehat dua bulan di rumah kerana tidak boleh bergerak.

Katanya, ketika di hospital, lebih enam anggota polis datang melawat dan mengambil keterangannya, malah sebaik keluar dari hospital, dia turut menerima kunjungan polis terbabit di rumahnya.

No comments:

Post a Comment