Monday, December 13, 2010

Rasuah: SPRM Pulau Pinang tahan 65 orang tahun ini


13/12/2010 6:31pm

GEORGETOWN — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan 65 orang bagi membantu siasatan kes-kes rasuah dalam tempoh antara Januari dan akhir November.
Pengarah SPRM negeri, Datuk Latifah Md Yatim berkata daripada jumlah itu 25 yang ditahan adalah dari kalangan mereka yang dipercayai memberi rasuah, dan antara yang ditahan termasuk dari kumpulan profesional, sokongan serta orang awam.
Beliau berkata, SPRM sedang berusaha keras untuk menyedarkan orang ramai bahawa antara sebab berlaku rasuah ialah kerana adanya kalangan mereka yang sanggup ”memberi”.
"SPRM melancarkan kempen besar-besaran untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa memberi rasuah juga adalah satu kesalahan besar mengikut undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Integriti dalam Industri Pembinaan disini hari ini.
Sementara itu katanya, jumlah tangkapan berkaitan rasuah di Pulau Pinang pada tahun ini meningkat dengan ketara, berbanding hanya 50 orang yang ditahan sepanjang tahun lepas. - Bernama

No comments:

Post a Comment