Monday, December 13, 2010

‘Mak, muka Airina dah cantik’


Retah Ahjang gembira melihat perubahan pada wajah anaknya, Airina Kamaruddin yang baru menjalani pembedahan sumbing oleh doktor pakar di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 12 Dis. – “Mak, muka Airina dah cantik.” Demikian luahan Airina Kamaruddin, 13, kepada ibunya, Retah Ahjang, 36, semasa mereka bertemu di Hospital Pakar Puteri, di sini hari ini.
Walaupun masih agak lemah setelah menjalani pembedahan selama kira-kira dua jam membetulkan sumbing yang dialaminya sejak lahir, Airina yang merupakan murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Bekoh, Ledang tetap ceria kerana wajahnya telah ‘berubah’.
Tanpa segan, dia mencapai cermin dan melihat wajah barunya sambil tersenyum.
“Saya ucapkan terima kasih kepada doktor dan pihak hospital kerana merawat saya.
“Saya tak sabar nak pergi sekolah dan tunjuk wajah baru kepada kawan-kawan,” katanya yang akan memasuki tingkatan satu tahun depan.
Airina, anak Orang Asli daripada suku kaum Temuan dari Kampung Tanah Gembuh, Ledang yang memperoleh 1A, 1C, 2B dan 1E pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini memberitahu, dia tidak sabar untuk pulang ke kampungnya.
Kecacatan yang dialami Airina mendapat perhatian pada program Kem Perubatan’ yang dijalankan oleh 40 kakitangan Hospital Pakar Puteri terdiri daripada doktor pakar dan jururawat di perkampungan Orang Asli Tanah Gembuh pada 23 Oktober lalu.
Pembedahan secara percuma membetulkan lelangit mulut Airina itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat pihak hospital berkenaan.
Sementara itu, Retah bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Hospital Pakar Puteri kerana telah membantu melakukan pembedahan ke atas anaknya secara percuma.
Menurutnya, Airina yang merupakan anak keempat daripada sembilan beradik itu dijangka dirawat lima hingga enam hari di hospital tersebut.
“Kami sekeluarga berterima kasih kepada pihak hospital kerana membantu mencantikkan mulut Airina yang sumbing,” katanya.
Katan ya, jika mengharapkan pendapatan hasil menoreh getah, dia dan suaminya, Kamaruddin Ledek, 39, mungkin tidak mampu membiayai kos rawatan berkenaan.
“Hasil getah hanya cukup untuk menampung kehidupan harian kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment