Monday, December 13, 2010

Sakit belakang: Nik Aziz dirawat di HUSM


KOTA BHARU 12 Dis. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak kelmarin kerana sakit pada bahagian belakang.
Anak keduanya, Nik Omar, 45, berkata, doktor telah meminta bapanya supaya 'berehat' di wad selepas menghadiri temu janji untuk pemeriksaan di hospital berkenaan.
Beliau berkata, temu janji tersebut adalah ekoran daripada sakit tulang belakang yang dihadapi Nik Abdul Aziz sebelum ini.
"Doktor telah membuat imbasan (scan) pada tulang belakang ayah semasa hadir pada temu janji sebelum diminta berehat di wad," katanya di sini hari ini.
Rabu lalu, Nik Abdul Aziz, 79, yang juga Mursyidul Am Pas kelihatan sihat di rumahnya selepas khabar angin menyatakan beliau berada dalam keadaan tenat di hospital.
Khabar angin itu tersebar melalui laman blog dan laman sosial sehingga menyebabkan petugas media berkampung di rumahnya di Pulau Melaka di sini sejak awal pagi tersebut.
Nik Omar berkata, berdasarkan keterangan doktor, masalah tulang belakang tersebut berpunca daripada kecederaan lama.
"Ia sebab ayah jatuh kuda dulu, kecederaan belakang memberikan kesan sehingga sekarang. Sehingga kini kita tidak tahu bila ayah dapat keluar wad, mungkin selepas mendapat keputusan imbasan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment