Thursday, December 30, 2010

Chavez cabar Amerika putus hubungan diplomatik



CARACAS 29 Dis. - Presiden Venezuela, Hugo Chavez mencabar Amerika Syarikat (AS) supaya 'memutuskan hubungan diplomatik' berikutan bantahannya berhubung pemilihan duta baru AS ke negara ini oleh Presiden Barack Obama.
"Jika AS mahu mengusir duta kami di negara itu dan memutuskan hubungan diplomatik, biar mereka lakukan," kata Chavez melalui televisyen milik negara, semalam.
Minggu lalu, Menteri Luar Venezuela menyuarakan harapan agar kedua-dua negara menyelesaikan isu berhubung pemilihan diplomat Larry Palmer sebagai Duta AS ke negara ini, yang dicalonkan oleh Obama tetapi belum disahkan oleh Senat AS.
Chavez, bagaimanapun menegaskan bahawa Palmer tidak dialu-alukan di negara ini, selepas diplomat veteran AS itu mengkritik kerajaan sosialis Venezuela ketika pengesahan di Senat AS pada bulan lalu.
"Kami menolak untuk mengiktiraf Palmer dan AS kini mengancam untuk bertindak balas. Mereka boleh lakukan apa yang mereka mahukan, tetapi lelaki ini (Palmer) tetap tidak dialu-alukan.
"Untuk datang ke sini, seorang duta itu perlu menghormati negara ini. Ia amat memalukan jika saya membenarkan lelaki ini (Palmer) datang ke Venezuela," tegas Chavez.
Hubungan AS dan Venezuela tegang sejak beberapa tahun lalu ekoran Chavez berulang kali mengutuk 'imperialisme AS' dan berusaha menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara seteru AS termasuk dengan Cuba, Syria dan Iran.
Penggubal undang-undang AS pada minggu lalu menyuarakan tentangan ke atas undang-undang baru yang diluluskan oleh badan perundangan pro-Chavez yang memberikan Presiden itu kuasa diktator sementara waktu untuk mengekang kebebasan media dan menghukum penggubal undang-undang yang bertukar parti.
Undang-undang diluluskan melalui tekanan parti pemerintah, Parti Sosialis yang dijadual diadakan hanya beberapa minggu sebelum perhimpunan baru pada 5 Januari ini, di mana penggubal undang-undang pro-Chavez kehilangan majoriti besar. - AFP

No comments:

Post a Comment