Thursday, December 30, 2010

Pengikut Syiah di Malaysia tidak sesat: Kamil Zuhairi



KUALA LUMPUR - Pengikut Syiah menegaskan bahawa amalan mazhab tersebut di negara ini tidak boleh dikategorikan sebagai ajaran sesat kerana ajaran Syiah wujud di seluruh dunia sejak dahulu lagi.

Jurucakap Komuniti Pencinta Ahlul Bait (Syiah), Kamil Zuhairi Ab Aziz berkata, pengamal Syiah juga mempunyai hak dan kebebasan beragama yang diperuntukkan dalam Deklarasi Amman, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Jordan 2008.

Menurutnya, pengikut ajaran Syaih di negara ini tidak boleh disamakan dengan pengikut di negara lain kerana mempunyai tradisi dan kebudayaan yang berbeza.

Beliau berkata, ahli Komuniti Pencinta Ahlul Bayt (keluarga Rasulullah) di negara ini datang dari pelbagai jalur etnik Melayu beragama Islam yang berasal dari mazhab Ja’fari.

“Komuniti Pencinta Ahlul Bayt di Malaysia merupakan sebahagian besar dari pengikut Syiah di seluruh dunia yang berjumlah sekitar 200 hingga 500 orang,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu membuktikan bahawa ajaran Syiah yang dibawa mereka adalah sesat sebelum melemparkan sebarang tuduhan dan membuat serbuan.

“Tindakan Jais menceroboh dan memecah masuk ke Majlis Tahlil Arwah Saidina Hussein yang sedang berlangsung pada malam tersebut tidak ada kaitan sama sekali dengan penyebaran ajaran Syiah.

“Malah ketika serbuan dilakukan tiada seorang pun penguat kuasa Jais mengatakan bahawa ajaran Syiah sesat, mereka cuma kata ia berbeza dengan Ahli Sunah Waljamaah. Jadi kenapa mesti ada diskriminasi terhadap kami?,” katanya.

Menurutnya, dakwaan bahawa mereka ditahan kerana mempercayai tanggapan bahawa penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal dibunuh adalah tidak benar.:

“Pembuktian mengatakan kami mencederakan diri itu tidak ada dan sebenarnya perbuatan tersebut dilarang dilakukan oleh pengikut Syiah,” katanya.

No comments:

Post a Comment