Tuesday, December 7, 2010

Khir Toyo diheret ke mahkamah



MOHAMAD KHIR diiringi polis sebelum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas tuduhan memiliki dua lot tanah dan banglo secara salah.


SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam berhubung tuduhan mendapatkan dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini pada harga yang meragukan pada 29 Mei 2007.
Dia didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang dia ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No. 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam.
Hartanah itu dibeli daripada Ditamas Sdn. Bhd. melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 Shah Alam. Mohamad Khir dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Di mahkamah yang sama, Shamsuddin turut didakwa mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 165 kanun yang sama kerana bersubahat dengan Mohamad Khir. Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM750,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

No comments:

Post a Comment