Tuesday, December 7, 2010

Polis diminta siasat penuntut IPT melacur


TELUK INTAN 6 Dis. – Kementerian Pengajian Tinggi meminta polis dan agensi penguat kuasa supaya menyiasat dan mengambil tindakan ke atas mana-mana penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang terbabit dengan kegiatan pelacuran.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kegiatan tidak bermoral itu mungkin dilakukan oleh segelintir kecil mahasiswa berbanding lebih ratusan ribu penuntut di semua IPT di seluruh negara.
Menurut beliau, kegiatan pelacuran jelas menyalahi undang-undang dan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat kegiatan penuntut di luar waktu belajar atau di luar kampus.
“Kementerian sedia bekerjasama dengan polis dan setakat ini belum ada mana-mana penuntut yang ditangkap ataupun didakwa di mahkamah atas kegiatan itu.
“Kalau pihak berkuasa dapat maklumat, beritahu kita... penuntut universiti mana, penuntut asing atau pun tempatan, kerana ada orang luar yang masuk ke negara ini mengambil kesempatan untuk melakukan kegiatan terkutuk itu,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis pelancaran Program Modular Sepenuh Masa Animasi, Senibina dan perasmian Kolej Komuniti Teluk Intan berharga RM15 juta di sini hari ini.
Mohamed Khaled mengulas pendedahan Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Dr. Jaina Sintian Khamis lalu bahawa ada pelajar IPT terpaksa menjadi pelacur bagi membiayai kos pengajian mereka.
Jaina dilaporkan berkata, kebanyakan mereka yang terlibat datang daripada keluarga bermasalah seperti berlaku penceraian ibu bapa mereka menyebabkan mereka tidak mempunyai tempat bergantung bagi menanggung kos pengajian.
Mohamed Khaled berkata, kalau terbukti ada penuntut terbabit dalam pelacuran, kementerian sedia membantu memberi kaunseling bagi mengesan punca dan latar belakang mereka terbabit.
Mengenai kos pengajian di IPT sekarang, beliau berkata, kerajaan memberi subsidi 90 peratus sepanjang mengikuti pengajian antara RM9,000 hingga RM10,000 bagi keseluruhan pengajian tiga tahun.
Tambah beliau, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi pinjaman antara RM4,000 hingga RM5,000 bagi setiap semester.
“Penuntut hanya membayar separuh pinjaman itu bagi satu semester dan boleh dapat RM600 hingga RM700 sebulan untuk duit poket, tak kan itu tidak cukup untuk perbelanjaan,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, menerusi 62 kolej komuniti di seluruh negara, kementerian telah melancarkan program pembelajaran secara modular sepenuh masa dan separuh masa antara tiga hingga enam bulan.
Menurutnya, sejak dilancarkan Julai lalu, program sepenuh masa ini telah disertai 3,500 orang manakala 7,200 orang lagi secara separuh masa.
“Kita menyasarkan 37 peratus tenaga mahir untuk negara berbanding 24 peratus sekarang,” katanya.
Jelas beliau, kolej komuniti akan menambah kursus daripada 49 sekarang kepada 135 program menjelang 2015 bagi meningkatkan jumlah pelajar daripada 20,000 orang kepada 120 orang menjelang 2015.

No comments:

Post a Comment