Tuesday, December 7, 2010

Khir Toyo: Proses pendakwaan biasa


PUTRAJAYA 6 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pertuduhan rasuah ke atas bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo merupakan proses pendakwaan biasa.
Kata beliau, ini bermakna Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan siasatan dan menghantar laporannya ke Pejabat Peguam Negara.
''Saya tak boleh nak komen, ini proses biasa maknanya SPRM buat siasatan dan dihantar kepada Peguam Negara.
''Kalau Peguam Negara kata ada kes, (maka) terpulang kepada Peguam Negara buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan Talent Corporation Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Najib mengulas pendakwaan ke atas Mohamad Khir yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta hanya dengan harga RM3.5 juta dua tahun lalu.
Ditanya mengenai kedudukan Mohamad Khir dalam parti, Najib berkata, perkara itu belum boleh dibincangkan kerana beliau belum diputuskan bersalah oleh mahkamah.
''Nanti dululah, dia baru didakwa, kita tak tahu dia bersalah ke tidak, kita tak tahu lagi, kena ikut proseslah," katanya.

No comments:

Post a Comment