Thursday, December 2, 2010

Lagi lembu terbiar



Oleh Mohd Nur Hafidz Nordin
bhnews@bharian.com.my
2010/12/02

LEMBU yang dilepaskan tanpa kawalan di jalan menuju ke Kampung Sri Gunung Pulai, Kulaijaya.
LEMBU yang dilepaskan tanpa kawalan di jalan menuju ke Kampung Sri Gunung Pulai, Kulaijaya.
Pengguna mahu tindakan tegas dikenakan kepada pemilik haiwan berkeliaran 

KULAIJAYA: Puluhan lembu yang berkeliaran tanpa diawasi pemiliknya di sekitar Jalan Kulai-Pekan Nenas di sini, sejak bertahun lalu terus menghantui pengguna yang menggunakan laluan berkenaan.
Walaupun masalah itu sering ditimbulkan pengguna jalan raya, malah ada yang membuat aduan, ia terus berulang apabila lembu dibiarkan mencari makan di tepi jalan terbabit yang sememangnya sibuk dengan kenderaan.
Tindakan tidak bertanggungjawab penternak haiwan itu bukan saja menyusahkan pengguna jalan raya, malah mengundang risiko apabila boleh menyebabkan berlakunya kemalangan maut ketika pengguna jalan raya cuba mengelak haiwan terbabit terutama pada waktu malam dan awal pagi. 

Pengguna, Nazley Saaban, 50, berkata dia hairan dengan sikap penternak yang melepaskan lembu sesuka hati untuk memakan rumput di tepi jalan. 

“Penternak seolah-olah tidak mengambil berat keselamatan pengguna yang melalui jalan berkenaan lebih-lebih lagi pada waktu malam. 

“Jika keadaan berterusan, laluan ini pasti menjadi perangkap maut kepada pengguna dan tidak mustahil satu hari nanti, ada yang kehilangan nyawa kerana kedegilan penternak terbabit,” katanya. 
Tinjauan Edisi Johor di kawasan berkenaan baru-baru ini mendapati kira-kira lima hingga enam ekor lembu berkeliaran di sekitar jalan itu serta tidak menghiraukan kenderaan yang lalu lalang. 

Perkara itu boleh mengundang bahaya terutama kepada penunggang motosikal kerana lembu terbabit sentiasa melintas jalan bagi mencari kawasan ragut yang sesuai. 

Seorang lagi pengguna, Tan Chien Hoe, 32, berkata, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pemilik lembu terbabit bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. 

“Masalah ini berlaku kerana tiada tindakan tegas dikenakan terhadap penternak, kesudahannya mereka bebas melakukan apa saja tanpa memikirkan soal keselamatan pengguna. 

“Saya harap pihak berkuasa tempatan dapat memantau kegiatan terbabit dan mengenakan tindakan tegas terhadap penternak supaya ia menjadi pengajaran untuk mereka tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya. 

Difahamkan baru-baru ini satu kemalangan berlaku membabitkan seorang penunggang motosikal yang cedera apabila terlanggar lembu ketika hendak ke tempat kerja. 

Kejadian itu dikatakan berlaku kerana lembu terbabit melintas secara tiba-tiba menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum terjatuh daripada motosikal ditungganginya.

No comments:

Post a Comment