Thursday, December 2, 2010

Pembangkang di Mesir kalah



PENUNJUK perasaan membakar poster Ahmed Ezz, calon parti pemerintah NDP sambil melaungkan slogan anti-kerajaan di Kaherah, kelmarin. - REUTERS


KAHERAH 1 Dis. - Parti pemerintah Mesir memenangi 209 daripada 508 kerusi yang dipertandingkan pada pusingan pertama pilihan raya Parlimen manakala parti-parti pembangkang hanya mendapat lima kerusi.
Akhbar milik kerajaan, al-Akhbarhari ini melaporkan keputusan yang diumumkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pilihan Raya, sekali gus mengesahkan Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) pimpinan Presiden Hosni Mubarak memperoleh kemenangan besar seperti dijangka.
Pembangkang, Ikhwanul Muslimin yang menguasai satu perlima kerusi Parlimen sebelum ini berkata, tiada seorang pun calonnya memenangi kerusi pada pusingan pertama.
Pertubuhan hak asasi manusia dan pembangkang menuduh pihak berkuasa menggunakan undi palsu, membuli dan taktik penipuan lain pada pusingan pertama pengundian pada Ahad lalu.
Kerajaan bagaimanapun berkata, pilihan raya dikendalikan secara adil.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah membatalkan kiraan daripada lebih 1,000 peti undi tetapi berkata, pembatalan itu tidak menjejaskan angka keseluruhan.
Al-Akhbar menyenaraikan keputusan seperti berikut: 209 kerusi untuk NDP, tujuh untuk calon bebas, lima untuk parti pembangkang manakala 283 kerusi akan dipertandingkan pada pusingan kedua.
Keputusan bagi empat kerusi dimansuhkan.
Pengundian pusingan kedua untuk kerusi di mana tiada calon memenangi lebih daripada 50 peratus undi akan diadakan pada 5 Disember ini.
Calon-calon NDP akan menentang satu sama lain dalam banyak pertarungan pada pusingan kedua. - Reuters

No comments:

Post a Comment